Tuesday, May 26, 2009

Husam pertahan rancangan mogok lapar

Husam pertahan rancangan mogok lapar

KUALA LUMPUR 25 Mei - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mempertahankan rancangan pakatan pembangkang untuk melancarkan mogok lapar selama tiga hari bermula esok bagi mendesak Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan.

Beliau berkata, tindakan berkenaan boleh dibuat dengan syarat individu yang terlibat tidak melakukannya sehingga mati.

Beliau tidak bersetuju dengan pandangan yang menyatakan perbuatan itu menyamai agama lain termasuk Hindu kerana mogok lapar tiada dalam agama terbabit sebaliknya yang ada hanyalah amalan berpuasa.

''Mogok lapar adalah satu trend untuk menyatakan protes, yang diterima oleh semua budaya di seluruh dunia dan seperti amalan berpuasa ia tidak boleh dilakukan secara terus menerus sampai mati.

''Kalau kita kata berpuasa, mungkin UMNO tak kisah. Tetapi kalau sebut mogok lapar, UMNO terkejut, sebab itu mufti bersuara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya semalam bahawa umat Islam diharamkan sama sekali melakukan mogok lapar kerana perbuatan itu menyerupai amalan dalam agama Buddha dan Hindu.

Menurut Husam, kenyataan Juanda itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana para mufti sebelum ini telah membuat pelbagai ulasan menyokong UMNO termasuk berhubung tindakan penyokong pembangkang keluar ke jalan raya dengan memakai baju hitam.

No comments: