Tuesday, May 26, 2009

Aminah dakwa PKR tawar jawatan, wang

Aminah dakwa PKR tawar jawatan, wang


AMINAH Abdullah ditemani suaminya Mohd. Rofi Osman menunjukkan salinan laporan polis dan cakera padat yang didakwa sebagai rakaman tawaran PKR di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam.


BUKIT MERTAJAM 25 Mei - Calon Bebas, Aminah Abdullah hari ini tampil mendedahkan bukti Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang didakwa cuba menyogoknya dengan menawarkan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) atau Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan wang RM88,000.

Menurutnya, jawatan TKM1 Pulau Pinang dan wang RM88,000 itu ditawarkan sekiranya beliau menang atas tiket Bebas dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti pada 31 Mei ini, tetapi dengan syarat beliau kembali menyertai PKR.

Katanya, jawatan Yang Dipertua MPPP dan wang RM88,000 ditawarkan jika beliau menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Jelasnya, bukti kedua-dua tawaran berserta wang tersebut, iaitu rakaman perbualan bersama dua wakil PKR yang datang menemuinya di rumahnya di Jelutong, Pulau Pinang pada 13 Mei lalu, akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Komtar, Pulau Pinang esok.

"Kalau saya teruskan bertanding (atas tiket Bebas) dan menang, PKR menawarkan jawatan TKM1 tetapi mesti masuk semula ke dalam parti PKR manakala kalau saya tarik diri pula, mereka tawarkan jawatan Yang Dipertua MPPP.

"Kedua-dua tawaran itu disertai dengan ganti rugi RM88,000 kerana itulah jumlah yang telah saya belanjakan untuk berkempen termasuk wang deposit untuk bertanding kerusi DUN Penanti," katanya pada sidang akhbar di Simpang Tiga, Kubang Ulu di sini hari ini.

Pada kira-kira pukul 11.50 pagi ini, beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) bertujuan melindungi keselamatan dirinya dan keluarga ekoran pendedahannya itu.

Aminah berkata, dua individu yang mewakili PKR adalah seorang pegawai khas Exco kerajaan negeri dan seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR.

Menurutnya, selain pita rakaman perbualan dalam bentuk cakera padat selama lebih tiga jam, beliau akan menyerahkan kepada SPR gambar-gambar ketika dikunjungi dua wakil PKR itu.

"Saya mendedahkan bukti ini kerana berpegang kepada prinsip dan bukan ditaja mana-mana pihak untuk bertanding atas tiket Bebas, sebaliknya berharap SPR menyerahkan laporan ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

"Saya juga membuat pendedahan bukti hari ini bagi menyahut cabaran yang dilontarkan kepada saya oleh pemimpin PKR negeri,"

Menjelaskan lebih lanjut mengenai tawaran PKR itu, Aminah memberitahu, tawaran tersebut dibuat PKR kerana parti itu tidak yakin calon mereka, Dr. Mansor Othman boleh menang kerusi DUN Penanti.

No comments: