Tuesday, May 26, 2009

PPP Perak desak 'presiden' letak jawatan

PPP Perak desak 'presiden' letak jawatan

IPOH 25 Mei - Parti Progresif Penduduk (PPP) Perak hari ini mendesak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah meletak jawatan kerana mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) haram yang membelakangkan peraturan parti.

Pengerusinya, Datuk Lee Heng berkata, Murugiah perlu meletak jawatan kerana beliau dilantik ke jawatan tersebut atas tiket PPP.

Katanya, tindakan Murugiah yang mengadakan 'EGM haram' di Putrajaya semalam, menunjukkan beliau tidak menghormati parti.

''EGM itu adalah haram dan tidak betul kerana Setiausaha Agung parti sepatutnya mengeluarkan surat mesyuarat dalam parti.

''PPP Perak juga tidak tahu menahu mengenai EGM yang diadakan itu kerana beliau (Murugiah) menjemput ahli di beberapa kawasan di negeri ini bagi menghadiri satu seminar di Putrajaya bukannya mengadakan EGM," katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di pejabatnya di sini hari ini.

Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai Ahli Majlis Tertinggi (MT) PPP, dipilih sebagai Presiden baru dalam EGM parti itu, semalam.

Pada 16 Mei lalu, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh ahli parti termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Heng yang juga Timbalan Presiden PPP berkata, PPP Perak berdiri teguh dan menyokong padu kepimpinan Kayveas sebagai presiden parti.

Sementara itu, katanya, PPP Perak akan mengadakan konvensyen di Bukit Kinding Resort, Tanjung Rambutan dekat sini, pukul 2 petang esok.

Katanya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir akan merasmikan konvensyen tersebut.

No comments: