Tuesday, May 26, 2009

Husam sah cabar Nasharuddin rebut Timbalan Presiden

Husam sah cabar Nasharuddin rebut Timbalan Presiden

KUALA LUMPUR 25 Mei - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang dikaitkan dengan 'puak Erdogan' yang 'pro-Anwar' mengesahkan akan mencabar Nasharuddin Mat Isa bagi merebut jawatan Timbalan Presiden parti itu pada Muktamar Pas Ke-55 bulan depan.

Beliau berkata, keputusan muktamad untuk bertanding jawatan itu dibuat kerana wujud keperluan semasa yang mendesak untuk menyemak peringkat tertentu dalam Pas termasuk berhubung isu mengadakan kerjasama dengan UMNO.

''Saya berpendirian sudah sampai masa Pas berusaha menggantikan tempat UMNO sebagai teraju utama politik negara dan ini hanya boleh dilakukan dengan parti ini menjadi pesaing UMNO dan bukan rakan dalam apa bentuk ikatan," tegasnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Hari ini merupakan tarikh tutup bagi setiap calon menghantar surat jawapan untuk bertanding pada muktamar yang berlangsung dari 2 hingga 6 Jun ini kepada jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan oleh Datuk Mustafa Ali.

Keputusan itu bermakna akan berlaku pertandingan tiga penjuru bagi jawatan berkenaan antara Husam dan seorang lagi Naib Presiden, Mohamad Sabu yang dikaitkan sebagai 'puak Erdogan' yang pro kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Nasharuddin.

Penyandang jawatan Timbalan Presiden itu kini menjadi calon tunggal mewakili ulama yang pro kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan penarikan diri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Haron Din.

Ditanya laporan akhbar hari ini bahawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seolah-olah merestuinya untuk merebut jawatan itu, Husam berkata, beliau tidak akan membuat sebarang dakwaan berhubung perkara itu.

''Saya tak boleh dakwa macam itu kerana saya berdikari sendiri tetapi saya akui telah memaklumkan kepada Mursyidul Am pagi ini mengenai hasrat untuk bertanding.

''Saya juga akan memaklumkan kepada Abdul Hadi dan kepimpinan tertinggi Pas lain mengapa saya mengambil keputusan ini dan sama ada mereka restu atau tidak, itu terpulang kepada masing-masing," katanya.

Husam yang turut menafikan laporan beberapa akhbar bahawa beliau merebut jawatan itu kerana ia akan memberinya lebih peluang untuk menjadi Menteri Besar Kelantan berkata, tumpuannya adalah untuk bergiat aktif di peringkat nasional.

''Lebih baik saya menjadi timbalan menteri atau menteri kerana saya pada waktu ini lebih diperlukan pada peringkat nasional khususnya bagi merangka agenda tersusun untuk menawan negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN)," katanya.

Ditanya sama ada tindakan beliau melawan Nasharuddin akan menjejaskan perpaduan dalam Pas, Husam yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan, beliau hanya menawarkan diri untuk bertanding setelah mendapat pencalonan yang mencukupi dari kawasan-kawasan.

''Saya mendapat pencalonan yang agak rendah, jadi tidak perlu mana-mana pihak rasa bimbang atau takut dengan saya,'' katanya sambil menegaskan parti itu pernah menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden termasuk pada 2003 tetapi tidak pernah berpecah.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Nasharuddin mendapat pencalonan lebih 60 peratus dari 137 kawasan Pas yang bermesyuarat.

Mengenai sama ada tindakannya bertanding bermakna Nasharuddin tidak lagi mempunyai kewibawaan untuk menyandang kerusi Timbalan Presiden, Husam berkata:

''Saya yakin dia (Nasharuddin) adalah lebih baik daripada saya dan sebab itu untuk selama dua penggal saya telah menyokong penuh serta mempunyai harapan yang sangat tinggi terhadap kemampuan beliau dari semua segi,'' katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, amanah yang diberikan oleh ahli akar umbi dan pemimpin parti yang lain untuk beliau bertanding adalah mengatasi personaliti penyandang jawatan itu.

Menurut beliau, keputusan itu juga dibuat kerana mendapati Nasharuddin bersikap terlalu liberal terhadap UMNO hingga mencapai satu tahap yang tidak boleh diterima lagi.

''Saya tidak boleh kata saya lebih baik daripada Ustaz Nasharuddin, tetapi saya rasa parti mesti tegas dalam arah tujunya, supaya tidak menimbulkan keraguan di kalangan pihak-pihak yang menyokong kita,'' tegasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar pada sidang akhbar berasingan mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Naib Presiden parti itu setelah dimaklumkan tiga penyandang sedia ada tidak mempertahankan jawatan itu.

Jawatan itu kini disandang oleh Husam, Mohamad dan Ahmad Awang.




Husam tanding Timbalan Presiden

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my




Mohamad Sabu turut cabar Nasharuddin

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, semalam secara rasmi menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas menentang penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa, bagi memastikan parti itu terus relevan.

Husam berkata, keputusan untuk mencabar Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok dibuat selepas berpendapat adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan Pas terus relevan, selain memastikan keyakinan ahli parti terhadap kepemimpinan Pas tidak akan hilang.

"Saya mengumumkan untuk bertanding jawatan itu selepas mempertimbangkan pandangan daripada semua pihak termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota parti daripada semua peringkat serta kawasan yang mencalonkan saya.

"Jika menang, gandingan saya dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh menolong memajukan lagi parti dan menerokai kemajuan dan pembukaan sehingga berjaya dari segi politik menggantikan tempat Umno sebagai teraju utama negara pada masa akan datang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Selain Husam, Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu turut membuat keputusan mencabar Nasharuddin, sekali gus menyaksikan persaingan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden.

Pas akan mengadakan pemilihan dan muktamar ke-55 awal Jun ini di Stadium Malawati, Shah Alam.

Ditanya adakah faktor Nasharuddin yang berada dalam kelompok promuzakarah menjadi punca beliau hilang keyakinan terhadap timbalan presiden itu, sekali gus mendorongnya menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan, Husam berkata, dirinya sentiasa yakin dengan dasar kepemimpinan Nasharuddin.

"Nasharuddin adalah lebih baik dari saya dan sebab itu saya setia menyokong beliau selama dua penggal.

"Dalam prinsip perjuangan parti, kita tidak boleh terlalu liberal ke arah Umno... kita perlu berada di tengah, tidak boleh terlalu menyokong Umno atau melindungi Umno," katanya.

Sementara itu, dalam satu sidang media berasingan, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden parti.

Sambil menegaskan tidak menyokong mana-mana pihak (proulama dan profesional atau kumpulan Erdogan), beliau berkata, hasratnya hanya satu iaitu menggunakan peluang sebaik mungkin bagi merealisasikan hasrat untuk membentuk kerajaan baru di negara ini.

"Saya tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana `rakit' (ulama atau profesional). Pas perlu memenangi hati rakyat jika berhasrat mencapai kejayaan dalam pilihan raya akan datang.

"Jika saya nak dipilih untuk jawatan ini, pilihlah saya bukan kerana saya ketua penerangan, bukan kerana kekerapan saya memberikan kenyataan akhbar," katanya.

No comments: