Tuesday, May 26, 2009

Kayveas cabar Murugiah

Kayveas cabar Murugiah

Oleh YUSRI SAHAT
utusanpahang@utusan.com.my


KUANTAN 25 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas mencabar Senator Datuk T. Murugiah yang diumum Presiden PPP semalam, supaya menubuhkan parti baru jika merasakan dirinya wira kaum India.

Beliau bagaimanapun percaya tidak ada sesiapa daripada ahli PPP yang akan menyertai parti baru Murugiah itu kecuali seorang dua pengikut setianya.

"Kalau dia (Murugiah) rasa dia kuat dan popular, dia boleh membentuk parti baru dan satukan semua kaum India. Dia perlu lakukannya dan jangan ganggu PPP lagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PPP Pahang di sini hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri.

Adnan diwakili Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Kayveas mengulas krisis PPP apabila Murugiah dipilih sebagai Presiden baru parti itu pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang dihadiri 1,760 perwakilan didakwa mewakili dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam.

Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dipilih sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Kayveas diluluskan sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 1993.

Pada 16 Mei lalu, Lembaga Disiplin PPP memecat tujuh ahli parti termasuk Murugiah atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Murugiah dipecat kerana menggunakan kedudukannya sebagai Timbalan Menteri untuk mengatur sidang akhbar pembantu khasnya, N. Shanmuganathan bagi memburukkan parti dan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti.

Dalam pada itu, Kayveas menyifatkan Murugiah sebagai gila kuasa dan publisiti selain tidak memahami peraturan dan perlembagaan parti.

"Dulu dia pernah kata parti ini tidak sah dan meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkannya. Tiba-tiba semalam dia dilantik Presiden dan itu adalah sah pula.

"Kita kena check kerana ada yang tidak kena dengan dia. Bagaimana dia boleh jadi Presiden kepada parti yang tidak sah," katanya.

Sambil menyifatkan kemelut dalam PPP itu sebagai 'ribut dalam cawan', Kayveas menafikan tindakan Murugiah itu akan menyebabkan PPP berpecah.

Ini kerana, jelas beliau, lebih 90 peratus 'perwakilan' yang hadir pada EGM di PICC itu bukan ahli PPP.

"Beberapa ahli PPP yang hadir itu adalah daripada kalangan yang kecewa dengan parti," katanya.

Tegasnya, PPP akan meminta lapan daripada ahli parti yang dikenal pasti menghadiri EGM itu mengemukakan surat tunjuk sebab sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita ada merakamkan apa yang berlaku dan setakat ini sekurang-kurangnya lapan ahli PPP dikenal pasti hadir dalam perhimpunan tersebut," jelasnya sambil mendakwa menghantar kira-kira 100 'pengintip' untuk merakamkan apa yang berlaku dalam EGM itu.

Kayveas sekali lagi mengingatkan Murugiah bahawa tempoh rayuan berikutan pemecatannya tamat pada 30 Mei ini.

"Jika sehingga 30 Mei ini dia (Murugiah) tidak merayu, dia secara rasmi dibuang daripada PPP," katanya.

Beliau juga yakin usaha Murugiah untuk menghantar semua keputusan EGM itu kepada ROS menemui kegagalan kerana mesyuarat tersebut adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan parti.

"Murugiah sepatutnya berjumpa dengan ROS terlebih dahulu sebelum mengadakan EGM," jelasnya.

Beliau juga menggesa BN mengambil tindakan terhadap Murugiah kerana tindakannya itu boleh merosakkan perpaduan dalam parti.

"Saya pasti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyedari apa yang berlaku dalam PPP," katanya.

No comments: