Tuesday, May 26, 2009

Murugiah gila publisiti: Kayveas

Murugiah gila publisiti: Kayveas
Oleh Abdul Razak Raaff
raaffar@bharian.com.my

Tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi PPP beri contoh tidak baik kepada BN

KUANTAN: Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas meminta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak selepas mengadakan satu perhimpunan di Putrajaya, kelmarin untuk `melantik' dirinya sebagai presiden baru parti itu.

Sambil melabelkan Murugiah sebagai `gila publisiti', Kayveas berkata, tindakan bekas Ahli Majlis Tertinggi PPP itu mengisytiharkan dirinya presiden dibuat dengan membelakangkan perlembagaan parti dan undang-undang negara sekali gus memberi contoh tidak baik kepada generasi muda, negara dan Barisan Nasional (BN) .

"Sebelum ini beliau jumpa Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk minta batalkan PPP dan kemudian mengeluarkan kenyataan pemecatannya tidak sah, tetapi tiba-tiba dilantik sebagai Presiden... itu sah?

"Sebab itu saya cakap beliau memang perlu mendapatkan rawatan di hospital Tanjung Rambutan kerana ada masalah dalam dirinya... beliau yang minta ROS batalkan parti dan kemudian menjadi presiden parti yang hendak dibatalkan," katanya pada sidang media selepas Konvensyen Tahunan PPP Ke-13, di sini semalam.

Konvensyen itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. Hadir sama Pengerusi PPP Pahang, Datuk M Elayppen.

Kayveas turut mencabar Murugiah menubuhkan parti lain untuk menyatukan kaum India, jika beranggapan dirinya mempunyai pengaruh dan sokongan yang besar.

"Jika beliau (Murugiah) begitu bagus, tubuh satu parti lain bagi menyatukan orang India... kenapa perlu kacau PPP kerana beliau pun bukan ahli parti ini lagi.

Beliau mengulas mengenai krisis kepimpinan parti itu yang semakin bercelaru apabila Murugiah yang dipecat dua minggu lalu, dilantik sebagai presiden baru dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), kelmarin.

Seramai 1,760 perwakilan membabitkan 778 cawangan parti itu yang menghadiri EGM berkenan turut memutuskan memecat semua Exco lama PPP dan memilih tiga Naib Presiden baru iaitu Datuk Seri Abdul Rais Ahmad, R Karunakaran, dan Lau Beng Sin serta 25 ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Mengulas lanjut, Kayveas berkata, pihaknya akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada ahli PPP yang didapati menghadiri perhimpunan anjuran Murugiah itu.

"Kita mempunyai rakaman video keseluruhan perhimpunan berkenaan dan sudah mengenal pasti beberapa ahli yang menghadiri majlis berkenaan. Saya ada kira-kira 100 ahli yang bertindak seperti ejen risikan `James Bond' untuk memantau dan merakamkan keseluruhan majlis berkenaan," katanya.

No comments: