Tuesday, May 26, 2009

Pemuda PPP mahu Perdana Menteri bertindak

Pemuda PPP mahu Perdana Menteri bertindak

JOHOR BAHRU 25 Mei - Pemangku Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP), Jamaluddin Gulamhan meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan sewajarnya terhadap Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah kerana menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan peribadi.

Beliau berkata, Murugiah turut mendakwa mesyuarat agung luar biasa (EGM) anjurannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) semalam turut mendapat sokongan Perdana Menteri.

"Beliau menyatakan kepada semua perwakilan bahawa perhimpunan anjurannya itu mendapat sokongan penuh Perdana Menteri. Persoalannya adakah perkara ini benar?

"Sikap dan tindakan Murugiah itu bukan saja menjejaskan nama dan kedudukan beliau sebagai Timbalan Menteri malah merosakkan imej kaumnya sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kemelut dalaman PPP semakin memuncak semalam apabila Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) dipilih sebagai presiden baru parti itu.

Pemilihan dibuat pada EGM oleh kira-kira 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di seluruh negara di PICC, Putrajaya semalam.

Murugiah dipilih sebulat suara sebagai Presiden selepas undi tidak percaya ke atas Datuk M. Kayveas dilulus sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang telah disandangnya sejak 1993.

Jamaludin berkata, pihaknya menerima laporan segelintir perwakilan yang mendakwa mereka tidak tahu tujuan sebenar perhimpunan itu diadakan sehingga mereka berada di dewan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan mengadakan perhimpunan tersebut membuktikan bahawa Murugiah telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya selaku Timbalan Menteri.

"Perhimpunan haram yang dianjurkan semalam di Putrajaya itu adalah salah dari sisi undang-undang dan perlembagaan parti," tegasnya.

Beliau berkata, Pemuda PPP Johor bersama 22 ketua pemuda bahagian dari negeri ini sebulat suara menyokong kepimpinan Kayveas dan mahu beliau terus memimpin parti berkenaan secara sah.

"Saya selaku Pemangku Ketua Pemuda PPP bersama semua ketua pemuda negeri telah menyatakan sokongan penuh kami kepada M. Kayveas sebagai Presiden PPP yang sah," katanya.

No comments: