Tuesday, May 26, 2009

Polis akan ambil keterangan pihak kuil

Polis akan ambil keterangan pihak kuil

KUALA LUMPUR 25 Mei - Siasatan menyeluruh akan dijalankan termasuk mengambil keterangan pihak Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves yang dijadikan lokasi perhimpunan haram penyokong kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, walaupun perhimpunan itu diadakan secara aman, pihak yang terlibat masih boleh dikenakan tindakan kerana menganjurkan perhimpunan tanpa permit.

"Polis akan berjumpa dengan ahli jawatankuasa kuil berkenaan untuk mengambil keterangan mereka. Ia termasuk mendapatkan maklumat mengapa premis itu digunakan untuk perhimpunan.

"Selain itu, teks ucapan dalam perhimpunan tersebut juga akan diteliti sama ada mengandungi unsur hasutan yang boleh mencetuskan rusuhan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Semalam, kira-kira 1,000 penyokong LTTE berhimpun secara aman di kuil itu di Jalan Besar, Batu Caves di Gombak, tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa yang tidak membenarkan perhimpunan tersebut kerana tidak mendapat permit.

Turut hadir memberi ceramah pada perhimpunan itu ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran.

Perhimpunan tersebut dianjurkan oleh World Tamil Relief (WTR) bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berakhir pada pukul 1.30 petang.

Polis kini menyiasat tindakan penyokong LTTE itu mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana mengadakan perhimpunan haram dan Seksyen 143 kanun yang sama iaitu menjadi ahli perhimpunan haram.

Abdul Rahim memberitahu, sehingga kini juga, tiada sebarang tangkapan dibuat terhadap ke atas individu yang terbabit dengan perhimpunan tersebut.

No comments: