Tuesday, May 26, 2009

Perakuan QC bukti kemampuan hakim

Perakuan QC bukti kemampuan hakim

KUALA LUMPUR 25 Mei - Perakuan pihak Queen's Counsel (QC) terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah, membuktikan kemampuan panel hakim negara yang telah mencapai taraf dunia.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perakuan itu juga menunjukkan keupayaan mahkamah tempatan dalam mendengar asas prinsip-prinsip perundangan dengan tepat.

"Walaupun perakuan Queen's Counsel diperoleh sebagai pandangan pihak ketiga berasaskan fakta-fakta yang dihadapi oleh Perak, kita tidak sesekali tertakluk pada pandangan itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyebut seorang ahli Queen's Counsel, Lord Lester turut memperakui keputusan Mahkamah Rayuan terhadap krisis di Perak itu berada pada landasan yang betul.

Sehubungan itu, Abu Zahar menggesa pihak bertanggungjawab agar mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang terhadap mereka yang mengaibkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Hanya dengan cara itu katanya, institusi kehakiman akan dihormati selaras dengan semangat Rukun Negara yang telah diguna pakai sejak negara mencapai kemerdekaan.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu A. Aziz pula berpendapat, pandangan Lord Lester mengenai kes di Perak itu sama sekali tidak terikat dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

"Kerajaan kita hanya sekadar mendapatkan bantuan nasihat perundangan dan pandangan daripada pihak Queen's Counsel dan tindakan itu tidak salah, tambahan pula ia datang dari United Kingdom.

"Banyak sistem perundangan yang diguna pakai di sini menyamai dengan sistem perundangan British dan kerana itu kita lebih cenderung merujuk kepada mereka," jelasnya.

Katanya, hakim-hakim tempatan turut merujuk pada kes-kes yang berlaku di Barat sebagai panduan.

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail pula berpandangan, apa yang dikatakan oleh Lord Lester itu hanya sekadar pendapat dan ia mungkin berbeza dengan pandangan hakim dan peguam tempatan.

Menurut beliau, sebagai hakim dan peguam yang mengendalikan kes berhubung krisis di Perak itu, mereka sudah pasti lebih arif dan berkeupayaan tinggi.

"Hakim dan peguam tempatan sudah tentu lebih arif dan mahir dengan undang-undang dan Perlembagaan negeri," tegasnya.

No comments: