Tuesday, May 26, 2009

30 pemimpin PPP Selangor kutuk tindakan Murugiah

30 pemimpin PPP Selangor kutuk tindakan Murugiah


MaNglin A/L Dennis DCruz (lima dari kanan) bersama ahli-ahli PPP Selangor menunjukkan salinan laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHARANI SAIBI


SHAH ALAM 25 Mei - Seramai 30 pemimpin dan ahli Parti Progresif Penduduk (PPP) Selangor hari ini berhimpun bagi mengutuk tindakan Senator Datuk T. Murugiah mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) tanpa mendapat kelulusan Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu.

Timbalan Pengerusi PPP negeri, Datuk Manglin Dennis D'Cruz berkata, tindakan Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak wajar kerana ia membelakangi peraturan serta perlembagaan parti itu.

Malah, katanya, pelantikan Murugiah sebagai presiden dalam EGM yang diadakan di Putrajaya semalam juga tidak sah kerana bekas Ketua Pemuda PPP itu telah dipecat daripada parti itu.

"Kami kesal dengan tindakan beliau (Murugiah) mengadakan EGM ini dan membuat undi tidak percaya serta memecat Presiden PPP, (Datuk M. Kayveas) termasuk semua ahli MT.

"Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Beliau tidak ada hak untuk berbuat demikian kerana beliau bukan lagi ahli PPP. Maka, EGM yang beliau adakan semalam adalah haram begitu juga dengan pelantikan beliau sebagai Presiden.

"Malah, kita difahamkan majoriti perwakilan yang hadir dalam EGM yang dianjurkan oleh Murugiah itu bukan ahli PPP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah Setiausaha Agung Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Kamal Batcha N.M.R. Mohideen.

Semalam, Murugiah yang sebelum ini dipecat sebagai ahli MT telah dipilih sebagai presiden baru parti itu oleh kira-kira 1,760 perwakilan melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP.

Murugiah dipilih sebulat suara sebagai presiden selepas undi tidak percaya ke atas Kayveas dilulus sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan presiden yang telah disandangnya sejak 1993.

Dalam pada itu, Maglin turut memberitahu, pihaknya telah membuat 15 laporan polis ekoran tindakan Murugiah itu selain meminta campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan masalah berlaku.

Beliau turut mendakwa, EGM yang diadakan semalam itu juga merupakan antara salah laku Murugiah yang didakwa menggunakan kedudukannya serta Timbalan Menteri di JPM untuk mengadakan EGM berkenaan.

"Oleh itu, kita minta supaya Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) campur tangan serta melarang tindakan Murugiah menyalahgunakan kedudukan JPM dan kuasanya.

"Ini kerana tindakan Murugiah ini jelas tidak menghormati kedudukan JPM. Beliau sepatutnya memelihara dan menghormati undang-undang," ujarnya.

No comments: