Tuesday, May 26, 2009

Kelab Penyokong Pas Kebangsaan mahu jadi sayap Pas

KPP mahu jadi sayap Pas


KUALA LUMPUR: Kelab Penyokong Pas Kebangsaan (KPP) yang dianggotai bukan Melayu akan mengemukakan usul supaya kelab itu menjadi sayap Pas pada konvensyen yang dijadualkan, 30 Mei ini.

Timbalan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional, Dr Halimah Ali, berkata usul untuk menjadikan KPP sebagai sayap Pas adalah wajar bagi meneruskan sokongan kaum bukan Melayu terhadap parti berkenaan.

“Sokongan bukan Melayu terhadap Pas semakin meningkat walaupun ia sering dilabel dengan pelbagai gambaran buruk yang menakut-nakutkan golongan bukan Islam.

“Ini terbukti menerusi kejayaan yang dicapai oleh Pas menerusi pilihan raya umum lalu dengan orang bukan Islam mula mengundi Pas, sekali gus menggambarkan penerimaan semua kaum terhadap parti itu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Kelang berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Pas di sini, semalam.

Konvensyen KPP akan dirasmikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Klang, Selangor.

Pas ketika ini mempunyai tiga sayap iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda.

Halimah berkata, konvensyen itu bakal menjadi tempat untuk ahli KPP berkumpul, sekali gus memberi isyarat kepada semua pihak bahawa parti berkenaan mengalu-alukan kemasukan kaum bukan Melayu ke dalam Pas.

“Konvensyen ini penting untuk merealisasikan usaha bagi memastikan sokongan kaum bukan Melayu terhadap Pas dapat terus diperkasakan,” katanya.

No comments: