Monday, November 12, 2007

Peniaga kerugian teruk

KUALA LUMPUR: Tindakan demonstrasi haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di persekitaran Dataran Merdeka dan Masjid Jamek sehingga ke Istana Negara, di sini kelmarin, menyebabkan peniaga di kawasan itu mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit.

Beberapa peniaga yang ditemui Berita Harian semalam mendakwa, tindakan demonstrasi secara agresif itu menyebabkan mereka kehilangan mata pencarian kerana terpaksa menutup operasi perniagaan sepanjang perhimpunan haram itu berlangsung.

Peniaga kedai alat tulis, C Vellu, berkata beliau terpaksa menutup operasi perniagaannya selama tiga jam bermula jam 1.30 petang demi keselamatan berikutan ancaman peserta berlagak seakan-akan samseng menyebabkan beliau mengalami kerugian sebanyak RM700.

"Bayangkan jika dalam tempoh tiga jam itu saja kerugian yang saya alami mencecah RM700. Bagaimana jika mereka berdemonstrasi sehari suntuk, tentunya saya harus menanggung jumlah kerugian lebih tinggi.

"Saya kecewa dengan sikap peserta perhimpunan haram ini yang hanya tahu menyuarakan kepentingan mereka tetapi tidak mengetahui kesusahan atau kerugian dialami peniaga yang terdiri daripada rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Kelmarin, seramai 4,000 orang menyertai perhimpunan haram berkenaan anjuran 26 badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di negara ini kepada Istana Negara.

Sementara itu, peniaga salun kecantikan yang enggan dikenali berkata, beliau mengambil keputusan menutup operasi perniagaan selama sehari selepas membaca mengenai rancangan itu di media.

"Saya bimbang akan berlaku sesuatu di luar jangkaan kerana pastinya peserta demonstrasi haram ini mempunyai perasaan marah yang boleh mengakibatkan kerosakan infrastruktur perniagaan," katanya.

Pengusaha kedai telekomunikasi, Mohd Nazir Mohd Ibrahim, 26, berkata beliau mengalami kerugian hampir 50 peratus daripada jualan yang biasa dikautnya terutama pada hujung minggu berikutan demonstrasi haram itu.

"Pelanggan tidak mahu datang ke kedai saya kerana takut dengan tindakan peserta terbabit yang berkumpul berhampiran premis saya dengan nada yang kuat," katanya.

Seorang peniaga di Pasar Seni, Jalaludin Mohd Yoep, berkata walaupun beliau tidak mengalami kerugian dalam kejadian itu, tetapi kerugian secara amnya dirasakan kepada industri pelancongan.

"Apa yang mereka lakukan itu boleh menjejaskan pendapatan negara terutama di bidang pelancongan kerana pelancong akan takut datang ke Malaysia pada masa depan," katanya.

No comments: