Monday, November 12, 2007

Pilihan raya umum telus

SHAH ALAM: Tidak akan ada pemimpin pembangkang memenangi kerusi yang dipertandingkan jika proses pilihan raya sejak 1955 di negara ini tidak telus, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin.

Beliau berkata, sebaliknya negara menyaksikan pemimpin dan calon pembangkang turut dipilih menjadi wakil rakyat sepanjang 11 kali pilihan raya umum diadakan.

Kecewa dengan tindakan pihak penganjur perhimpunan haram di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur kelmarin, beliau berkata, ini membuktikan tohmahan yang cuba disampaikan pihak terbabit hanya untuk menghasut dan menimbulkan kekacauan.


"Tindakan mereka hanya menimbulkan kekacauan dan keadaan tidak stabil yang akhirnya merugikan rakyat," katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan Deepavali di sini, semalam.

Abdul Aziz yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata berdasarkan pengalamannya sebagai guru, beliau mendapati mereka yang sering menyalahkan orang lain adalah golongan yang tidak bertanggungjawab.

Selain itu katanya, sebagai seseorang cerdik pandai, pihak terbabit sepatutnya menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati dan bukan mengadakan perhimpunan seperti itu kerana ia perbuatan tidak bertamadun.

No comments: