Monday, November 12, 2007

Kekuatan BN bukan kerana sebuah parti – Abdullah

Oleh JAMDI NASIR


Abdullah Ahmad Badawi melambaikan tangan kepada orang ramai ketika tiba untuk merasmikan Kongres Tahunan ke-22 Parti Bersatu Sabah (PBS) di Bangunan Hongkod Koisaan (KDCA) Penampang dekat Kota Kinabalu, semalam. – Bernama.

KOTA KINABALU 11 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kekuatan Barisan Nasional (BN) hari ini bukan merupakan kekuatan sebuah parti tetapi melibatkan semua parti dalam komponen itu.

Menurut beliau, tidak ada parti dalam BN boleh bersendirian dalam menunaikan tanggungjawab membela rakyat jika tidak disokong dan mendapat kerjasama baik daripada parti-parti lain dalam komponen BN.

Sehubungan itu, beliau meminta parti komponen BN supaya sentiasa rasional semasa membuat sesuatu tuntutan dengan turut mengambil kira keperluan dan kehendak parti-parti lain.

Katanya, sebarang perselisihan yang timbul harus ditangani dengan bijak dan berhemah kerana jika tidak diselesaikan dengan baik ia akan melemahkan kerajaan BN dan seterusnya menyebabkan perancangan pembangunan rakyat menjadi pincang.

‘‘Perbalahan akan menyebabkan kita lemah dan kelemahan menyebabkan kita hilang kuasa. Hilang kuasa ertinya kita tidak akan dapat memainkan peranan menjayakan perancangan yang kita tetapkan,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Tahunan ke-22 PBS di Dewan Hongkod Koisaan, Penampang dekat sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan Presiden PBS, Datuk Joseph Pairin Kitingan.

Perdana Menteri menasihatkan para pemimpin parti-parti BN bahawa di samping menyuarakan apa juga pandangan dan kemahuan, mereka perlu memahami kemahuan kaum-kaum dalam parti lain.

“Kita mesti memahami bahawa kita bukan bersendirian.

‘‘UMNO bukan bersendirian, PBS (Parti Bersatu Sabah) bukan bersendirian dan parti-parti lain juga bukan bersendirian... kita semua adalah komponen yang memberi kekuatan kepada BN,” katanya.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, kekuatan BN ialah kerana ia mewakili semua pihak iaitu melibatkan pelbagai kaum dan agama, dan pada masa yang sama mereka memberi sokongan padu kepada kepimpinan BN.

Malah, kata beliau, semua parti BN diberikan tempat dalam kerajaan untuk turut serta berbincang dan membuat perancangan bagi memastikan tidak ada parti yang terpinggir daripada menikmati kejayaan hasil pelaksanaan pembangunan.

‘‘Semua parti dalam kerajaan ada wakil masing-masing yang akan duduk berbincang, merancang dan semuanya akan dijalankan dengan muafakat yang elok, dijalankan dengan kerjasama yang baik dan penuh persefahaman,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, dalam menjalinkan permuafakatan itu, suatu yang tidak dapat dinafikan ialah akan sentiasa timbul cabaran dan isu-isu baru termasuk yang agak sensitif untuk ditangani oleh kepimpinan dalam BN.

‘‘Masalah ini perlu ditangani secara berhati-hati supaya ia tidak merosakkan persaudaraan dan membawa kepada pergaduhan. Kita tahu perkara ini tetap ada tetapi masalah yang berat sekalipun, kalau kita hadapi dengan cara persefahaman bersama tidak ada yang akan rugi,” katanya.

Menyentuh mengenai Pembangunan Koridor Sabah (SDC), Abdullah berkata, rakyat negeri ini perlu memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri pada pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kejayaan pelaksanaan SDC.

Katanya, SDC yang akan dilancarkan akhir tahun ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil dan seharusnya hubungan mesra antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri hari ini tidak dihalang daripada terus terjalin.

‘‘Kejayaan membantu menjayakan SDC ini memerlukan kekuatan kepada kerajaan BN Sabah, ia mesti merupakan kekuatan yang mendapat sokongan majoriti rakyat negeri Sabah sendiri,” katanya.

No comments: