Sunday, November 11, 2007

Hak rakyat untuk berhimpun secara aman - Suhakam

Rizal Tahir
Sun | Nov 11, 07 | 7:01:44 pm MYT

PENGKALAN CHEPA, 11 Nov (Hrkh) - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhujah rakyat sepatutnya dibenarkan mengadakan perhimpunan secara aman kerana itu adalah hak mereka.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Simon Sipaun berkata, lagi pun telah termaktub dalam perlembagaan yang membenarkan rakyat berhimpun atau berdemontrasi secara aman.Image

"Mereka berhimpun cuma hendak menunjukkan apa yang mereka hendak dan ia dituju kepada sasaran mereka. Apabila mesej disampaikan, mereka akan bersurai tanpa apa-apa masalah.

"Jika tidak boleh diadakan di Dataran Merdeka, kerajaan boleh memberi pilihan seperti di Stadium Bukit Jalil," katanya kepada pemberita selepas program Suhakam bersama masyarakat di Perdana Resort di sini, hari ini.

Suhakam diminta mengulas keengganan polis membenarkan perhimpunan aman dianjurkan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu negara semalam.

Puluhan ribu yang hadir terpaksa berdepan dengan tindakan keras pasukan polis apabila melepaskan gas pemedih mata dan menyembur air berasid.

Perhimpunan tersebut dianggap berjaya biar pun diberi amaran keras Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sehari sebelum perhimpunan berlangsung. Image

Kehadiran puluhan ribu itu hanya digambarkan media pro kerajaan Barisan Nasional hanya sebanyak 4,000 orang sahaja hadir. Media harian utama berbahasa Melayu hari ini langsung tidak menyiarkan gambar lautan manusia pada perhimpunan tersebut.

Simon berkata, Suhakam telah mensyorkan kepada kerajaan supaya membenarkan rakyat berhimpun secara aman.

Pesuruhjaya Suhakam, Dato' Siva Subramaniam menasihatkan kepada mereka yang telah dikasari pihak polis pada perhimpunan itu tampil membuat laporan kepada Suhakam.

"Setakat yang kami tahu pihak polis melakukan tangkapan secara bersih tanpa kekasaran. Selain mengunakan gas pemedih mata dan water cannon. Pihak kami setakat ini belum menerima apa-apa laporan kekasaran yang dilakukan anggota polis." katanya.

Menurutnya Suhakam membuat pemantauan semasa demontrasi berlangsung dan mendapati pihak polis bertindak setelah ada unsur-unsur provokasi dilakukan.

Sementara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik berkata, larangan demontrasi melalui undang-undang yang dibuat menunjukkan sikap tidak demokrasi pemimpin negara ini.

"Siapa yang buat undang-undang sekat demontrasi secara aman diadakan. Ini menunjukan sikap tidak demokrasi pemimpin negara. Kita bukan di bawah pemerintahan tentera seperti Pakistan atau pun Myanmar," katanya.

Tambah beliau kalau hendak buat tangkapan biarlah mereka yang melawan secara fizikal seperti merusuh atau melontar batu sahaja ditangkap.

"Nak tangkap, tangkaplah mereka yang melakukan kekacauan seperti merusuh ataupun melontar batu. Tetapi selagi tidak ada provokasi dari pihak-pihak tertentu, saya yakin para peserta demontrasi berhimpun secara aman," ujarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pesuruhjaya Suhakam, Ustaz Mohamad Uthman El'Muhamady. Dewan Duyung tempat berlangsung program tersebut penuh sesak dengan kehadiran orang ramai. - mj/mks.


No comments: