Monday, November 12, 2007

Pastikan isu perkauman tidak dimainkan

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Pemimpin kaum perlu memainkan peranan masing- masing bagi memastikan isu perkauman tidak dimainkan dan diperbesar-besarkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata setiap kaum mempunyai sensitiviti masing-masing dan sebarang isu berkaitan kaum, agama dan kebudayaan perlu diselesaikan melalui perbincangan di meja rundingan.

“Tentunya perkara ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Namun semua rakyat hendaklah mendukung cita-cita membentuk bangsa dan negara, di mana ahli masyarakatnya menganggap diri mereka sebagai rakyat dan bangsa Malaysia tanpa mengira keturunan dan kepercayaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2007 di sini hari ini.

Majlis sambutan tersebut turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor.

Antara pemimpin negara yang hadir pada majlis itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Timbalannya, Datuk Seri Chan Kong Choy; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique.

Najib berkata sungguhpun Islam merupakan agama rasmi, Perlembagaan Negara memberi kebebasan kepada penganut-penganut agama lain melakukan amalan dan kepercayaan masing-masing.

“Malah, dalam sistem pendidikan kebangsaan, pendidikan yang menggunakan bahasa vernakular sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah jenis kebangsaan masih dipertahankan,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun hujan renyai-renyai dan sesekali lebat hari ini, ia tidak menghalang lebih 20,000 warga kota menghadiri sambutan Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2007 di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini.

Kehadiran ribuan pengunjung terutama kalangan pemimpin dan masyarakat berketurunan India, sekali gus menggagalkan usaha pihak tertentu untuk ‘mensabotaj’ majlis berkenaan.

Pihak-pihak tertentu sebelum ini dikatakan telah menyebarkan mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) meminta masyarakat berketurunan India tidak menghadiri majlis anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) itu.

Tindakan kumpulan tersebut didedahkan oleh Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dalam ucapan alu-aluan beliau.

‘‘Walaupun ada pihak-pihak tertentu cuba menyampaikan SMS berniat jahat (kepada pemimpin dan masyarakat berketurunan India) agar jangan pergi meraikan majlis, tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana tidak kira hujan mereka tetap bersama-sama menjayakan sambutan rumah terbuka ini,’’ katanya.

Menurut Rais, kehadiran begitu ramai pemimpin dan masyarakat pelbagai kaum membuktikan perpaduan tetap utuh di kalangan rakyat Malaysia.

Sementara itu, beberapa tetamu berketurunan India yang ditemui menegaskan, mereka tetap mendukung perpaduan kaum yang diamalkan selama ini kerana ia jaminan masa depan negara.

‘‘Walaupun saya ada menerima SMS meminta jangan menghadiri majlis ini, saya datang juga. Kita rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan perlu bercampur.

‘‘Maka itu, saya tidak pedulikan SMS itu kerana saya hendak meraikan Deepavali bersama-sama yang lain,’’ kata K. Batumalai, 47, dari Batang Berjuntai, Selangor.

Pandangannya disokong oleh G. Kavita, 27, yang cukup teruja kerana buat kali pertama menghadiri rumah terbuka Deepavali di peringkat nasional.

‘‘Saya cukup gembira melihat orang ramai tanpa mengira kaum datang meraikan sambutan Deepavali.

‘‘Jadi, buat apa kita mendengar perkhabaran-perkhabaran yang tidak elok kerana ia hanya menyusahkan kita,’’ katanya.

No comments: