Monday, November 12, 2007

Rakyat tidak perlu adakan demonstrasi jalanan

KUALA LUMPUR 11 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan rakyat negara ini tidak memerlukan demonstrasi jalanan untuk menuntut sesuatu kerana ia bukan budaya Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa gunanya berdemonstrasi jika ia boleh meruntuhkan negara dan mungkin mengakibatkan kestabilan dan keamanan sukar untuk dibina semula.

‘‘Kalau diikutkan, Barisan Nasional (BN) mampu mengadakan perhimpunan yang lebih besar daripada perhimpunan Gabungan Bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil semalam yang mengumpulkan kira-kira 10,000 orang.

‘‘BN mampu mengumpulkan (bilangan peserta) lebih besar daripada jumlah semalam kalau itu yang kita mahu untuk menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti. Namun itu bukan budaya rakyat negara ini,’’ katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kebangsaan 2007 di Brickfields di sini hari ini.

Najib memberitahu, rakyat negara ini perlu berpegang kepada Perlembagaan Negara dan menjadikan Rukun Negara teras dan landasan hidup bermasyarakat. Katanya, mereka perlu berusaha gigih mengekalkan kestabilan dan keharmonian sedia ada.

Beliau menegaskan, sekiranya semua pihak menggunakan demokrasi jalanan, perpaduan negara yang dibina oleh pemimpin-pemimpin akan musnah.

‘‘Deepavali membawa maksud perayaan cahaya bagi meraikan kemenangan mengatasi kejahatan dan konsep ini perlu diambil oleh rakyat negara ini dengan melihat cahaya sebagai simbol cintakan keamanan serta perpaduan,” katnya.

No comments: