Monday, November 12, 2007

Rakyat, polis dan istana 'cabar' pantang Abdullah

Mat Zain Mat Isa
Mon | Nov 12, 07 | 9:49:33 am MYT
"Mana boleh tak sampai 3,000 (orang)? Itu bohong sangat tu! Hak berhimpun di Masjid Negara saja pun dah dekat 40,000. Belum lagi campur hak (berhimpun di) Sogo, hak Masjid Jamek, hak Pasar Seni. Memang lebih dari target 100 ribu!" tegas Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man kepada beberapa demonstran yang baru mula berehat di surau Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut petang semalam

ImageBeliau yang turut mengenakan kemeja-t kuning yang dicetak khas untuk perhimpunan itu kelihatan begitu rancak dan bersemangat berbual dengan beberapa ahli PAS di salah satu sudut surau itu. Kesemua mereka baru saja kembali daripada perarakan ke Istana Negara. Perarakan itu dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang. Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusul kemudian.

Kesemua mereka berjaya mempersembahkan memorandum rakyat menuntut limpah perkenan Seri Paduka Baginda Yang Dipertua Agung agar hasrat rakyat melihat sebuah pilihan raya yang bersih dan adil dapat dilaksanakan pihak pemerintah negara ini.

Berdasarkan perhitungan mata, memang jumlah kehadiran petang semalam melebihi jangkaan 100 ribu orang. Sebab itu Tuan Ibrahim dan rakan-rakannya tadi amat wajar berasa kecewa dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa perhimpunan itu dihadiri hanya tidak sampai 3,000 peserta. Mereka dipercayai merujuk kepada siaran berita tv tempatan dan laman web pro-kerajaan mengenai perhimpunan itu sejurus sebelum itu.

Jumlah 100 ribu itu belum lagi mengambilkira ribuan antara mereka yang dipaksa berpatah balik sebelum sempat sampai ke tempat perhimpunan. Berbagai maklumat diterima orang ramai yang berada di perhimpunan itu mengenai nasib rakan-rakan mereka. Sekatan jalanraya ada di segenap penjuru masuk ke ibukota. Halangan yang sengaja dibuat pihak polis itu adalah punca utama kesesakan lalulintas di luar KL. Sedangkan lalulintas di tengah kotaraya bergerak lantar.

ImageAda cerita sekatan bermula seawal perjalanan di Pagoh, Johor dan Kemaman, di Terengganu. Ada yang digeledah bagasi masing-masing, kemeja-t kuning Bersih dirampas. Bahkan, ada cerita yang rombongan dari Terengganu yang sedang berehat di sebuah masjid di Gombak bukan setakat diarahkan berpatah balik oleh pihak yang mendakwa sebagai polis, malah mereka diiring sehingga memasuki Lebuhraya KL-Karak bagi memastikan mereka benar-benar berpatah balik.

Kesungguhan pihak polis berusaha menggagalkan perhimpunan semalam dipercayai bagi memenuhi mandat dan tanggungjawab berat yang diberikan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi kepada pasukan keselamatan itu sehari sebelumnya. Abdullah di dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno 2007, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat lalu antara lain memberi amaran kepada penganjur 'Himpunan 100 Ribu' supaya jangan berdegil mahu meneruskannya. Katanya: "Saya pantang dicabar."

Menurut Abdullah, perhimpunan yang disebutnya 'demokrasi jalanan' itu bukannya mencabar kerajaan dan kepimpinan beliau, sebaliknya menyifatkan ia satu perbuatan yang bertentangan dengan undang-undang negara.

"Selama ini, mana ada perhimpunan seperti itu diadakan secara aman. Terpulang kepada polis yang telah terlatih untuk mengambil tindakan," kata Abdullah pada sidang akhbarnya selepas itu.

Perhimpunan anjuran Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) semalam adalah bertujuan menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil. Untuk itu, Bersih menyenaraikan empat tuntutan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Pertama, penggunaan dakwat kekal yang dicelup ke jari pemilih berdaftar yang telah selesai membuang undi. Ia bagi mengelakkan pemilih sama mengundi berulangkali.

Kedua, pembersihan daftar pemilih daripada nama-nama yang tidak sayugia wujud. Ia termasuk apa yang disifatkan sebagai 'pengundi hantu', pemilih yang telah mati dan seumpamanya. Ia bagi mengelakkan sebarang kecenderungan penyalahgunaan nama terbabit atau penipuan oleh mana-mana pihak yang bertanding.

Ketiga, pemansuhan undi pos. Bersih berpandangan pelaksanaan undi pos amat dipertikaikan ketelusannya, terutama melibatkan dakwaan pemaksaan undi oleh pegawai atasan dan penipuan kertas undi yang sukar dibuktikan.

Keempat, Bersih turut menuntut akses kepada media yang lebih adil dan saksama bagi parti-parti pembangkang. Media massa cetak mahu pun elektronik sepatutnya bersikap lebih demokratik dan memberi ruang seadilnya kepada kesemua parti untuk menyatakan pandangan dan mesej masing-masing.

Kecuali semburan air kimia, tembakan gas ke atas kumpulan dari Masjid Jamek, balunan belantan dan tangkapan terhadap beberapa peserta perarakan, keseluruhan perhimpunan semalam boleh dikatakan berjalan secara aman. Ia kelihatan kecoh sedikit hanya disebabkan beberapa tindakan polis tadi, selain membunyikan siren amaran dan mengejarkan kenderan merah ke arah orang ramai.

Turut membingitkan suasana ialah deruman enjin dua helikopter yang berligar di sekitar kawasan perhimpunan. Namun provokasi pihak polis itu gagal mengundang sebarang reaksi tidak terkawal para peserta perarakan.

Kesemua mereka berarak penuh tertib sambil melaungkan slogan perhimpunan, "Pilihan Raya Bersih", "Daulat Tuanku" dan "Allahu Akbar."

Tiada langsung kecaman atau maki hamun terhadap mana-mana pihak termasuk kerajaan BN. Turut memudahkan urusan mereka ialah dua pihak lain, iaitu pihak polis dan istana.

"Saya pun terkejut, macam tak percaya macamana pihak polis boleh terlepas pandang kumpulan dari Sogo dan Masjid Negara, sehingga dia orang ni (peserta perarakan) boleh lepas ke Istana Negara. Boleh jadi depa (polis) terlalu asyik tumpu kat kumpulan Masjid Jamek. Boleh jadi juga polis pun bersimpati dengan kita," Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Mahfuz Omar melemparkan teorinya. Beliau menyebutkan demikian dalam satu sesi bualsantai di Pejabat Agung PAS malam tadi.

Telahan Mahfuz tentang 'sikap terbuka' pihak polis itu nampaknya terbukti benar. Meski pun terlalu sukar dipercayai, hakikat itu diakui Menteri Penerangan, Dato' Zainuddin Maidin semasa ditemubual secara langsung oleh stesen tv Al Jazeera. Akhbar The Star hari ini (11 November) menyiarkan pengakuan Zainuddin, "when they (peserta perarakan) refused to disperse, the police allowed them to march to Istana Negara to hand over a memorandum demanding a clean and fair election."

Soal apakah pengakuan Zainuddin itu semata-mata berhasrat menafikan laporan stesen tv antarabangsa itu mengenai keganasan polis terhadap orang ramai semalam, itu suatu hal yang lain. Apa yang pasti, pengakuannya itu didengar jutaan penonton tv semalam dan dibaca pula jutaan penatap akhbar hari ini.

Lebih dari itu, pengakuannya bahawa polis telah membenarkan perarakan itu menuju ke Istana Negara secara tidak langsung mengesahkan bahawa pihak polis telah 'turut sama mencabar' pantang yang ditegaskan Abdullah Jumaat lalu.

Malah Mahfuz turut memberitahu beliau dimaklumkan pihak tertentu bahawa Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin sendiri telah berkenan mengeluarkan titah secara bertulis kepada pegawai Istana Negara agar membuka pintu istana dan menerima kehadiran para pemimpin Bersih untuk menyerahkan memorandum semalam.

Jika benar bagai didakwa Mahfuz itu, jika benar bagai didedahkan Zainuddin, jika benar bagai dianggarkan Tuan Ibrahim dan rakan-rakannya, bermakna ketiga-tiga pihak dalam negara ini, iaitu rakyat, polis dan istana telah benar-benar mencabar 'pantang' dituturkan PM itu. - mks.


No comments: