Mon | Nov 12, 07 | 9:43:26 am MYT
Badai gelombang kuning rakyat yang membanjiri sekitar ibu kota Sabtu lalu dikepung FRU – polis dengan kawalan yang cukup ketat.
Laporan demi laporan didedahkan mengenai keganasan polis dan penafian polis yang melakukan keganasan telah menghiasi media. Apa lagi selepas ini?
Lembah Klang yang asalnya menjadi wadah takungan kemarahan rakyat di Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni sepatutnya dijadualkan melimpah di Dataran Merdeka, lalu mahu dicurahkan gelodak amarah yang mendidih di Istana Negara.
Bau aliran itu sempat dihidu FRU tangkas mengalahkan ketangkasan polis dalam usaha memburu pembunuh Nurin yang masih bermaharajalela.
Saya tiba di Stesen Monorail – LRT – Masjid Jamek, sekitar 5 petang, bersandar di dinding OCBC. Tangan mengusap pipi kiri dan tiba-tiba baru rasa pedih menyengat wajah. Saya teringat bahawa ada kemungkinan air hujan bercampur dengan air 'water Cannon' yang masih melekat di dinding itu.
Kali kedua, tangan memegang palang besi. Kerana terlupa, tangan mula memegang palang besi stesen monorail. Perit kali kedua menyerang ketika perit di wajah kali pertama baru kebah. Saya baru membayangkan betapa deritanya demonstran yang tubuhnya dipancutkan bertimba-timba air berbisa itu. FRU mungkin berhasil mengepung amarah rakyat, tapi bukan semangat mereka!
"Mujur tadi hujan turun lebat. Jadi, hilang dan berkurang kegatalan tadi," kata Farid, 23, seorang pelajar universiti tempatan yang bercerita pengalamannya disimbah asid. Ketika itu jam 6 petang dan 6 trak FRU mula beredar dari Masjid Jamek digantikan pasukan lain yang lebih kecil trak-WLP 6537, WCB 649 dan sebuah kereta polis WPP 1252 memantau keadaan.
Sehingga masuk Maghrib pasukan terakhir mula bergerak setelah 'trauma kuning' yang dihidapi pasukan polis mula menghilang dan oran g-ramai kembali menjalankan urusan seperti biasa.
Farid ketika itu mahu pulang kerana didengarnya ada beberapa demonstran yang ditahan untuk dibawa ke ibu pejabat polis Jalan Hang Tuah.
"Saya berdiri di atas bahagian atas tadi, memang nampak orang yang dikasari oleh FRU," tambah Farid lagi. Kesan daripada tindakan itu amat baik dari segi memberikan gambaran negatif kepada polis yang ganas ke atas demonstran. Mereka yang tidak memakai baju kuning pun berasa takut mendekati polis apatah lagi melihat kelibat polis.
Sambil bercerita Farid memejamkan mata menunjukkan aksi sakit ketika wajahnya disembur asid itu, "Ketua kami pun pandai bawa kami ke satu lorong kecil," katanya sambil menunjukkan laluan mereka di belakang Masjid Jamek. Mereka keluar melalui suatu lorong, terus ke Masjid India dan disembur sekali lagi. Sejak pagi, malah semalam lagi polis pencegah rusuhan telah bersedia.
"Ramai polis berada sekitar Dataran Merdeka sekarang," kata Wong, seorang rakan saya melalui sms ketika beliau berkereta ke pejabatnya sekitar jam 9 pagi. "Saya lihat ramai yang menunggu sekitar Stesen LRT Masjid Jamek."
"Saya fikir, polis enggan beredar dari sini selagi mana kelibat mereka yang memakai baju kuning masih kelihatan bebas di jalan raya," kata seorang rakan Farid pula. Ketika itu saya mula perasan lelaki Tionghua berbaju kuning yang saya lihat awal tadi. Apabila redup senja, dia mula merapati dengan polis. Rupa-rupanya, dia SB!
Perang jalanan dalam sehari selama beberapa jam itu tidak berakhir di situ. Ia tentu dianjakkan kepada perang idea oleh parti penguasa dengan jentera media. Suatu kerugian bagi demonstran jika mereka tidak mahu meneruskan hujah, debat dan berbahas ilmiah.
Esoknya, dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia, Naib Canselor Tan Sri Dr Nordin Kardin telah diundang untuk berbicara mengenai Minda Melayu. Beliau banyak menasihatkan oran g Melayu agar bergiat cergas dalam lapangan ilmu dan berusaha memberikan idea membina dalam usa ha membangunkan negara. Siaran itu menarik perhatian seorang pemanggil, Zulkifli dari Gombak.
"Saya nak tanya, kalau semua laluan untuk menyalurkan pandangan dan kritikan ini sudah tutup, bagaimana lagi rakyat harus mengguna saluran? Tiada jalan lain melainkan jalan raya!" katanya ketika Nordin mengulas mengenai perhimpunan 100,000 rakyat itu.
Beliau berkata: “Kita boleh guna pen, mesin taip, komputer dan saluran persatuan. Ini cara yang demokratik dan adil. Kenapa mahu buat demonstrasi jalanan dengan membawa orang yang tidak tahu-menahu. Orang yang tidak tahu apa-apa, suka pergi ke situ untuk berhimpun.
"Pemimpin (pembangkang) pun rasa kuat. Dia cuma nak menghiburkan diri sendiri. Kerja menulis untuk perubahan perlukan masa untuk berfikir. Jika nak demonstrasi anda tak perlu fikir panjang, cuma angkat kaki saja. Jadi, peru bahan dalam bentuk bagaimana yang kita mahu buat?
"Jadi, adakah oran g Melayu mahu tuntut peru bahan secara rasional atau demonstrasi di Dataran Merdeka. Itukah Melayu yang kita mahu? Kita mahu Melayu yang berfikir dan bukan Melayu yang bersifat ikut-ikutan saja. Mungkin demonstrasi itu anjuran penganjur dari luar. Entah siapa yang jadi penganjurnya pun kita tak tahu.
"Tapi, kalau kita menulis, kita bertanggungjawab sebab kita menulis nama. Saya juga mengkritik kerajaan di akhbar. tapi tak kena apa-apa. Malah, ada saranan yang diterima, sebab saya bukan mahu menumbangkan kerajaan. Saya cuma beri pendapat supaya pendapat itu didengar orang lain. Mereka dapat berfikir. Dalam demonstrasi, mana orang ada masa untuk berfikir?" kata Tan Sri Nordin dengan panjang lebar.
Jadi, apakah corak perjuangan rakyat selepas gelombang kuning Sabtu lalu? Bersediakah mereka menjawab perang idea melalui media yang selalu memancarkan mesej untuk memujuk khalayak kepada formula pemerintahan yang sedia ada? Sejauhmana kita menjelaskan pendirian terhadap khalayak yang gagal mengakses maklumat daripada kita?
Nordin mungkin tidak tahu, terlupa atau tidak terfikir bahawa seorang mahasiswa, dan pensyarah akan tersekat kebebasan akademiknya untuk menulis di akhbar. Tidak seperti beliau yang berada di kedudukan NC universiti, beliau boleh menulis apa sahaja tanpa dikenakan sekatan Auku hatta mengkritik kerajaan sekali pun.
Hal ini tentu berbeza ke atas pelajar dan pensyarah yang ingin menulis bern ada kritikan di dalam akhbar yang perlukan keizinan NC sendiri. Jadi, ruang untuk mengkritik secara rasional pun tidak dibenarkan dalam akhbar. Selain editor akhbar, NC atau TNC pula boleh menjadi penyunting.
Pensyarah juga perlu menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi di dalam sebuah persatuan dan tidak dapat mengeluarkan kenya taannya sebagai pensyarah universiti kerana khuatir dirinya terancam. Jika seorang pensyarah yang mahu mengkritik program angkasawan negara, nescaya dia tidak berani menulisnya, lalu meminta seorang editor menulis hal itu melalui dokumen rahsia yang akan dikirimnya kepada editor media alternatif sebagai bahan penulisan pendedahan.
Renung pula kenya taan Menteri Penerangan Dato' Seri Zainuddin Maidin dan Tan Sri Muhammad Taib dalam beberapa kenya taan yang lalu. Nada percakapan mereka lebih kurang sama di dalam beberapa siaran media ketika ditanya wartawan berhubung kedudukan perhimpunan rakyat itu.
" Malaysia bukan Myanmar dan bukan Pakistan , Malaysia adalah sebuah negara demokrasi," kata Zam serta Muhd Taib. Mungkin mereka melihat aspek luaran zahir – pemerintahan junta tentera, maka kerajaan ini tidak perlulah ditolak oleh rakyat.
Walhal, muatan isi pemerintahan Malaysia adalah menghampiri Myanmar dan Pakistan dari aspek dalam batinnya. Ia bersifat tidak endahkan desakan, tuntutan menangkap sang jerung perasuah, rasuah di peringkat tertinggi. undi pos dan lain-lain tuntutan yang bersifat adil.
Tuntutan yang bersifat serpihan mungkin dilayan bagi menampakkan kerajaan bersifat adil tetapi hal tuntutan bersifat dasar itu amat sukar kerana, kalau dilaksanakan ia membabitkan kenamaan, kes-kes rasuah pihak tertinggi dan sebagainya.
Penguasa telah sifar kepercayaan ke atas rakyat sendiri walaupun selalu disebutkan demonstrasi ini adalah perhimpunan aman oleh media alternatif. Tetapi, dalam bahasa polis dan pemerintah, ini adalah rampasan kuasa. Sebab itu mereka takut, hatta dengan demonstrasi aman sekali pun.
Tetapi, kalau benar-benar mahu dicabar agar rakyat menggulingkan kerajaan dengan cara yang sama, kelak kerajaan yang akan binasa. Jika Abdullah pantang dicabar, amukan rakyat ini adalah dua kali ganda cabaran Abdullah itu dapat disambut rakyat. Benarkah Abdullah berani mencabar rakyat sekali lagi? Rakyat dua kali ganda pantang dicabar!
Anwar dalam ucapannya menyebut, dalam tiga minggu daripada sekarang 300,000 rakyat datang semula menakung marah di Lembah Kelang. Kita cuma menunggu Abdullah mencabar kali kedua dan lihat samada FRU dapat mengepung arus kebanjiran amarah rakyat yang mendidih lama ini. Silap haribulan, aliran kali ini bukannya melimpah di Istana Negara, malah tercurah di Putrajaya!
Menurut laporan, sekitar 4,000 anggota polis daripada pasukan FRU dan lain-lain unit dikerahkan semata-mata untuk mencegah jenayah perjuangan demokrasi. Perangkaan ini sebenarnya, dapat ditumbangkan dengan 100,000 rakyat yang memusatkan kegiatan mereka di KL pada hari itu.
Kekuatan sabar 100,000 pendokong Bersih adalah 25 kali ganda dibanding kekuatan ketumbukan polis. 4,000 polis kalau didarab 25 ketumbukan, menjadikan angka itu berganda 100,000. Dalam surah al-Anfaal ayat 65–66, disebut kan bagaimana kekuatan sabar Muslimin dapat menewaskan kekuatan musuh. Polis-FRU, falsafah ‘perjuangan’ mereka bermotifkan gaji dan upah. Perjuangan kita berteraskan falsafah menagih kebenaran dan keadilan.
Kita perlukan bengkel muhasabah bagi mengenalpasti kelemahan protes 100,000 rakyat, di mana kelemahan perlu diperbaiki, bagaimana mahu memantapkan lagi kekuatan dan ancaman-peluang mengadakan protes yang sama pada masa depan. Lakukan analisis SWOT (Strength, Weakness, Opportunity , Threat) dari semasa ke semasa! - mks.
No comments:
Post a Comment