KUALA LUMPUR: Kebanyakan peserta perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan petang kelmarin kerana bertindak agresif dikenal pasti dari negeri Pantai Timur.
Difahamkan, mereka datang ke ibu negara sehari atau dua sebelum perhimpunan dijalankan dengan alasan untuk melawat tempat menarik sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah, berkata soal siasat yang dijalankan ke atas mereka yang ditahan mendapati kebanyakan mereka dari Terengganu.
"Bagaimanapun, setakat ini siasatan mendapati mereka yang ditahan tidak membabitkan orang politik, orang kenamaan atau pelajar. Mereka hanya orang biasa dan pemeriksaan juga tidak mendapati mereka terbabit dalam dadah.
"Apa yang dikesalkan, ada kanak-kanak turut ditahan kerana dibawa ibu bapa mereka ke perhimpunan itu," katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar polis membebaskan 245 orang yang ditahan kerana menyertai perhimpunan haram sekitar pusat bandar termasuk di Masjid Negara, Masjid Jamek dan berhampiran Kompleks Beli Belah Sogo, di sini, selepas keterangan diambil.
Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang, berkata parti itu akan mengadakan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara jika tiada sebarang perubahan terhadap tuntutan mengenai proses pilihan raya di negara ini.
"Kita hanya mahu keadilan dan menentang sebarang penipuan serta penyelewengan dalam proses pilihan raya di negara ini,� katanya ketika sidang media di sini semalam.
Di KOTA BHARU, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menganggap polis bertindak profesional ketika menangani perhimpunan haram di Kuala Lumpur kelmarin sehingga tidak tercetus sebarang kejadian tidak diingini.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam turut memuji tindakan polis yang membebaskan 245 orang yang ditahan terbabit dalam perhimpunan haram itu selepas keterangan mereka diambil.
No comments:
Post a Comment