Monday, November 12, 2007

Petanda parti lawan makin terdesak

KOTA KINABALU: Parti pembangkang kini sudah kehabisan modal dan semakin terdesak untuk meraih sokongan rakyat sehingga terpaksa menggunakan taktik kotor mengadakan demonstrasi jalanan serta berarak ke Istana Negara.

Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata tindakan itu bagaimanapun dianggap oleh majoriti rakyat di negara ini sebagai sesuatu yang tidak lebih daripada sekadar mencari publisiti murahan.

Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap pendirian sebahagian besar rakyat negara ini yang tidak merestui amalan politik jalanan parti pembangkang.

“Saya ingin rakyat Malaysia melihat dengan jelas bahawa inilah cara pembangkang yang mengamalkan politik kasar dan menjaja modal di jalanan sedangkan kita mengamalkan politik demokrasi.

“Kalau mahukan perubahan, bertanding pada pilihan raya dan kita lihat siapa yang dipilih rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Eksekutif Wanita Antarabangsa (IWEC) 2007 di sini, semalam.

Rafidah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, diminta mengulas tindakan parti pembangkang dan 26 badan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara, petang kelmarin.

Beliau berkata, tindakan pembangkang mengadakan perhimpunan haram itu turut menimbulkan kesukaran kepada warga kota seperti terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, manakala perniagaan turut terjejas.

No comments: