Monday, November 12, 2007

Keadaan fizikal lewatkan pembangunan di Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU 11 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kelewatan pembangunan di Sabah dan Sarawak berbanding negeri lain di Semenanjung bukan kerana dianak tiri tetapi disebabkan keadaan fizikal muka bumi kedua-dua negeri berkenaan.

Beliau mengakui disebabkan faktor-faktor itu termasuk taburan penduduknya yang ramai di pedalaman, kawasan yang luas dan masalah logistik, pembangunan di kedua-dua negeri itu memerlukan tempoh yang agak panjang.

Namun, beliau berkata, kerajaan amat memahami keadaan tersebut dan berharap pembangunan koridor yang dirancang di kedua-dua negeri berkenaan akan dapat memberi keseimbangan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak berbanding negeri-negeri lain.

‘‘Dalam hal ini, kita akui ada kelemahan dalam melaksanakan pembangunan di Sabah dan Sarawak tetapi kita akan pastikan dengan kerja kuat, pembangunan (negeri-negeri ini) akan dapat dilakukan secepat mungkin.

‘‘Kita harap penduduk (Sabah dan Sarawak) dapat bersabar kerana koridor pembangunan ini akan membawa kemajuan di seluruh negara,” kata Abdullah ketika berucap merasmikan Kongres Tahunan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.

Menurut Perdana Menteri, rancangan pembangunan negeri ini memerlukan kekuatan dan kerjasama daripada seluruh rakyat Sabah yang merupakan elemen terpenting bagi menentukan kejayaan pelaksanaannya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Musa Aman akan mendapat sokongan seluruh rakyat.

No comments: