Monday, November 12, 2007

Presiden LDP sedia tanding pilihan raya

KOTA KINABALU 11 Nov. – Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk V.K. Liew berkata, beliau bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang merupakan seorang peguam berkata, semua 26 bahagian LDP pada kongres kali ini sebulat suara meluluskan resolusi agar dirinya bertanding pada pilihan raya umum nanti.

‘‘Saya bersedia bertanding di mana-mana kawasan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Kongres Tahunan LDP di Menara Tun Mustapha di sini hari ini.

Ketika ini, LDP memiliki tiga kerusi DUN iaitu Tanjung Kapur di Kudat, Karamunting di Sandakan dan Merotai di Tawau.

Ditanya sama ada LDP bercadang memohon tambahan kerusi, beliau berkata, jumlah sedia ada yang dimiliki oleh parti tersebut sudah mencukupi.

Sementara itu, dalam ucapannya, beliau melahirkan keyakinan LDP mampu merampas kembali kawasan Parlimen Sandakan yang tewas kepada calon bebas pada pilihan raya umum lalu.

‘‘Kita akan terus teguh dalam kerusi yang dimiliki sekarang dan menghormati pembahagian kerusi sedia ada,” ujarnya.

No comments: