Monday, November 12, 2007

Perhimpunan haram cuba perangkap institusi raja

KOTA KINABALU 11 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, perhimpunan haram yang diadakan di ibu negara semalam bagi menyerahkan memorandum kepada Istana Negara bertujuan memerangkap institusi raja-raja ke kancah politik parti pembangkang.

Perdana Menteri bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa raja-raja dan Yang di-Pertuan Agong tidak akan terpengaruh dengan tindak-tanduk golongan tersebut yang cuba mengambil kesempatan meraih sokongan politik.

‘‘Tentu sekali apabila mereka bertindak begitu, (mereka) nak tarik raja-raja atau Yang di-Pertuan Agong masuk atau memerangkap Agong dengan politik mereka.

‘‘Saya percaya Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan akan dapat memahami serta tidak akan terperangkap dengan politik mereka itu,” katanya.

Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) ke-22 di Penampang dekat sini hari ini.

Beliau mengulas perhimpunan haram yang dianjurkan 26 badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai parti-parti pembangkang untuk menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di negara ini kepada wakil Istana Negara semalam.

Perhimpunan haram yang kononnya untuk menuntut pilihan raya yang telus dan adil itu bermula di Dataran Merdeka sebelum berarak ke Istana Negara. Ia terpaksa dileraikan oleh polis dengan gas pemedih mata dan meriam air.

Mengulas lanjut, Abdullah turut tidak menolak tindakan tersebut merupakan gimik parti-parti pembangkang untuk menarik sokongan rakyat berikutan pilihan raya yang dikatakan semakin hampir,... tarik sokongan,” katanya sambil melahirkan rasa puas hati dengan cara polis menangani perhimpunan haram tersebut.

Beliau berkata, kerajaan sememangnya tidak mahu perhimpunan seperti itu diadakan kerana ia jelas membebankan pasukan polis untuk mengawal bagi memastikan wujud keamanan.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan rakyat negara ini tidak memerlukan demonstrasi jalanan untuk menuntut sesuatu kerana ia bukan budaya Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri berkata, apa gunanya berdemonstrasi jika ia boleh meruntuhkan negara dan mungkin mengakibatkan kestabilan dan keamanan sukar untuk dibina semula.

‘‘Kalau diikutkan, Barisan Nasional (BN) mampu mengadakan perhimpunan yang lebih besar daripada perhimpunan Gabungan Bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil semalam yang mengumpulkan kira-kira 10,000 orang.

‘‘BN mampu mengumpulkan (bilangan peserta) lebih besar daripada jumlah semalam kalau itu yang kita mahu untuk menunjukkan sokongan rakyat kepada kerajaan dan parti. Namun itu bukan budaya rakyat negara ini,’’ katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Kebangsaan 2007 di Brickfields di sini hari ini.

Najib memberitahu, rakyat negara ini perlu berpegang kepada Perlembagaan Negara dan menjadikan Rukun Negara teras dan landasan hidup bermasyarakat. Katanya, mereka perlu berusaha gigih mengekalkan kestabilan dan keharmonian sedia ada.

Beliau menegaskan, sekiranya semua pihak menggunakan demokrasi jalanan, perpaduan negara yang dibina oleh pemimpin-pemimpin akan musnah.

‘‘Deepavali membawa maksud perayaan cahaya bagi meraikan kemenangan mengatasi kejahatan dan konsep ini perlu diambil oleh rakyat negara ini dengan melihat cahaya sebagai simbol cintakan keamanan serta perpaduan,” katnya.

No comments: