Monday, November 12, 2007

PM kunjungi Deepavali MIC Sabah

KOTA KINABALU 11 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merasmikan kongres dua parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah, iaitu Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) sempat mengunjungi Rumah Terbuka Deepavali di Kompleks Sukan Likas di sini hari ini.

Perdana Menteri yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman disambut oleh pemimpin parti komponen BN Sabah dan meluangkan masa kira-kira satu jam pada majlis yang dianjurkan MIC Sabah itu.

Rumah terbuka tersebut dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung pelbagai kaum dan diserikan dengan tarian tradisional dan moden termasuk India, Cina, Melayu dan Kadazan.

Pengerusi Badan Perhubungan MIC Sabah, Datuk V. Jothi semasa ditemui berkata, walaupun kaum India ialah minoriti di negeri ini tetapi penganjuran rumah terbuka itu tetap penting bagi memberi peluang kepada pelbagai kaum untuk turut merasai sambutan Deepavali.

Katanya, penganjuran berkenaan bukan suatu pembaziran kerana manfaatnya dapat mengukuhkan keharmonian dan perpaduan sedia ada.

“Meskipun kaum India adalah minoriti tetapi kita mempunyai peranan tersendiri yang turut memberi sumbangan dalam mengukuhkan perpaduan antara kaum,” katanya.

Beliau berharap, kaum India di Sabah akan terus menyokong dasar-dasar dan agenda kerajaan serta berdiri sama tinggi dengan etnik lain di negeri ini.

Menurutnya, adalah penting untuk semua etnik di sini membantu di antara satu sama lain kerana Sabah mempunyai parti komponen BN yang paling banyak iaitu melibatkan sembilan parti.

No comments: