Oleh Rashidi Karim
KANGAR: Ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada Perhimpunan Agung 2007 parti itu bulan depan dijangka menyentuh isu kemajuan negara dalam tempoh 50 tahun akan datang selain nilai tambah kepada modal insan, ekonomi dan pelajaran.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, berkata perwakilan diminta memberi tumpuan kepada ucapan dasar itu ketika berbahas pada perhimpunan yang bermula 5 November ini.
Beliau berkata, banyak perkara akan diketengahkan Abdullah dalam ucapan dasarnya yang memerlukan kupasan dan sokongan daripada semua perwakilan pada perhimpunan lima hari itu.
"Kita jangkakan Presiden akan menyentuh soal kemajuan negara untuk tempoh 50 tahun ke hadapan, termasuk nilai tambah modal insan, ekonomi dan pelajaran.
"Kita tidak menetapkan garis panduan khusus kepada perwakilan untuk membahaskan usul kerana ahli Umno sudah matang, sesuai dengan penubuhan 61 tahun Umno sebagai parti komponen terbesar Barisan Nasional (BN).
"Perwakilan tahu isu yang tidak boleh dibangkitkan seperti menyentuh soal mahkamah serta personaliti individu tertentu, termasuk hakim dan Raja Melayu," katanya pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Warisan di sini, semalam.
Ditanya dakwaan ada perwakilan yang diminta pihak tertentu menghentam individu dan kementerian tertentu pada sesi perbahasan nanti, beliau berkata, pihaknya berharap perkara seumpama itu tidak berlaku.
Katanya, isu sensitif seumpama itu memang menarik perhatian ramai, tetapi tidak memberi kebaikan kepada parti.
"Perhimpunan Agung bukannya medan untuk mereka melepaskan geram dengan membangkitkan isu remeh tiada kaitan dengan kepentingan parti dan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment