Sat | Oct 27, 07 | 6:22:05 pm MYT
KUALA LUMPUR, 27 Okt (Hrkh) - Khabarnya majoriti Exco pergerakan wanita Umno telah menyerang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu pertemuan rutin di pejabat Perdana Menteri pada 8 Oktober 2007 lalu yang menyifatkan Presiden Umno ini 'terlalu lemah' dalam menangani beberapa isu terkini.
Seorang Exco pergerakan itu yang enggan namanya disebut memberitahu, majoriti Exco pergerakan wanita melepas 'kemarahan' ini kepada Abdullah sehingga dikatakan ia boleh menjejaskan imej dan wibawa Umno.
"Banyak isu-isu yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak terutamanya pembangkang tetapi Abdullah lebih banyak mendiamkan diri seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dilakukannya," kata Exco pergerakan wanita Umno itu lagi.
Sememangnya banyak isu-isu terkini yang gagal dijawab secara jelas oleh Presiden Umno ini terutamanya isu yang membabitkan kenaikan harga barangan, isu pita video Linggam, isu audit dan sebagainya.
Pertemuan yang disertai semua Exco dan Ketua Wanita Negeri kecuali Negeri Kelantan berlangsung dari jam 2:30 hingga 5:30 petang.
Perjumpaan khas ini adalah rutin pergerakan itu untuk melaporkan beberapa perkara kepada PM termasuk isu kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabshee yang menyatakan sokongan beliau sekiranya bekas Ketua Puteri Umno, Dato' Seri Azalina Othman Said merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno ini.
Gambaran yang diberikan juga seolah-olah Abdullah lepas tangan sekiranya berlakunya pertandingan jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno dalam pemilihan mereka selepas selesainya Pilihan raya umum ke-12 akan datang.
Difahamkan dalam pertemuan ini, beberapa Exco mendesak Abdullah supaya mengambil tindakan terhadap kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras yang disiarkan oleh akhbar harian utama negara.Bagaimanapun Presiden Umno ini tidak melayan desakan tersebut.
Ekoran dari isu tersebut, Exco pergerakan wanita itu menambah, tidak mustahil isu ini akan dibangkitkan dalam Perhimpunan Agung wanita Umno dan pastinya Rafidah akan dijanjikan oleh para perwakilan supaya tidak akan berlaku pertandingan jawatan ketua wanita kelak.
"Kita akan melihat ada perwakilan yang mengkritik sikap dan tindakan Ketua Umno Bahagian Cheras ini. Rafidah tidak mahu ada spekulasi yang boleh menjejaskan kedudukannya sebagai Ketua Wanita Umno," katanya lagi.
Bagaimanapun dia mengakui beberapa isu kebelakangan ini agak membebankan pergerakan wanita Umno untuk menjelaskannya kepada rakyat terutamanya yang berkaitan dengan Abdullah sendiri.
Rafidah sendiri pernah menghadapi serangan teruk dari para perwakilan Umno Malaysia pada tahun 2006 lalu ekoran beberapa isu yang ditimbulkan oleh Tun Dr Mahathir walaupun beliau sudah memberikan jawapannya.
Dalam Perhimpunan Agung Wanita Umno ini dianggarkan 760 perwakilan akan hadir. Persidangan akan berlangsung selepas mendengar ucapan dasar dari Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Najib Tun Razak. - mks.
No comments:
Post a Comment