Sun | Oct 28, 07 | 7:19:59 am MYT
Sebaik sahaja mendapat tahu Dato' Seri Anwar Ibrahim membuat jaminan beliau akan hadir, insya-Allah, dalam perhimpunan 100,000 menuntut pilihan raya adil dan bebas pada 10 November depan, lega hati saya.
Segera saya SMS Abdullah A Karim, anak muda yang secara terbuka menggesa Anwar dan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat menyatakan komitmen secara terbuka untuk mengepalai demonstrasi aman di Dataran Merdeka itu.
Abdullah membalas, "lega rasanya, kena highlight respons dia tu, tapi tok guru kita belum tau lagi." Saya cuba kemaskinikan penegasan Anwar itu dalam Harakahdaily, tapi malangnya ada masalah dengan server. Jadi terpaksalah gunakan detikdaily ini dulu.
Mengimbas balik tulisan Abdullah: "Sepanjang yang saya ingat, Dato' Seri Anwar Ibrahim hingga ke saat ini tidak pernah memberi penegasan (dari mulutnya sendiri, bukan melalui orang lain) bahawa beliau akan mengepalai himpunan tersebut. Bahkan ada khabar-khabar angin yang menyatakan pada tarikh tersebut Dato' Seri Anwar tidak berada Malaysia kerana terbang ke Eropah dan Timur Tengah. Kalau perkhabaran ini tidak benar, silakan Dato' Seri menafikannya secara terbuka.
"Begitu juga dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat juga belum memberikan komitmen sedemikian untuk beliau sendiri turun ke Kuala Lumpur pada 10 November, jauh sekali daripada mengarahkan ahli-ahli PAS seluruh negara untuk menyertai perhimpunan tersebut."
Ramai juga kawan-kawan lain, apabila mahu meluahkan rasa tidak puas hati kepada Anwar, mereka mengharapkan saya mencetuskannya melalui tulisan saya. Ada yang berkata, saya ada "imuniti" untuk menegur Anwar! Agak keterlaluan kenyataan itu, tapi saya akui apabila saya menulis tentang Anwar, saya rasa agak bebas untuk memberikan pandangan berbeda. Saya kira Anwar tak "berasa hati" dengan teguran-teguran itu. Ada sekali semasa mewawancarainya, Anwar menimbulkan di depan saya tentang kegemaran saya untuk mengkritiknya itu.
Soal tuntutan pilihan raya bebas dan adil memang tak boleh dipandang remeh. Saya pernah mengusulkan dulu, biar Anwar saja mengetuai Bersih, bukannya Syed Shahir, bukan kerana Presiden MTUC itu tidak layak, tetapi mahu melihat gerakan itu mencapai impak maksimum.
Mengapa parti-parti pembangkang perlu rasa apologetik untuk berdepan memperjuangkan satu proses pilihan raya yang telus? Memang kita mempunyai kepentingan dalam pilihan raya, dan kerana itu kita tidak mahu ditipu terus-terusan. Kita sebagai aktor penting demokrasi mahu mempastikan segala kebusukan dan hanyir dalam proses terpenting ini ditamatkan segera.
Dalam satu perbincangan di Hotel Vistana, dua tahun lalu, di mana Abdullah Karim menjadi pengerusinya, dihadiri antara lain, Mohamad Sabu, saya meluahkan: "Kalau tuan-tuan, dalam bahasa kasarnya, orang yang cari makan dengan demokrasi, pun ambil sikap endah tak endah dengan penipuan BN dalam pilihan raya, maka janganlah diharapkan kami, orang yang sesekali diajak berbincang soal demokrasi, mahu ke depan. Saya hairan bagaimana tokoh-tokoh PAS, khususnya di Kedah, boleh berdiam diri apabila disembelih leher mereka oleh SPR melalui persempadan semula kawasan pilihan raya pada 2003."
Mendengar saya meninggikan suara itu, Abdullah berkata: "Terkejut beruk saya mendengar ucapan Lutfi tadi."
Selain turut berkongsi kebimbangan takut-takut perhimpunan 10 Nov tidak mendapat sambutan luar biasa, saya rasa kalaupun kehadirannya boleh mencecah 10,000 pun ia boleh dianggap berjaya jika kita bijak "mengarahkan" demonstrasi dan perarakan itu, apatah lagi dengan baju seragam kuning.
10,000 berarak dari Dataran Merdeka ke Istana Negara, mengikut perencanaan yang rapi, tentulah lebih hebat daripada 50,000 hadirin yang mengikuti ceramah Anwar atau Haji Hadi atau Mohamad Sabu di Kota Bharu, Kuala Trengganu mahupun Baling, Kedah.
Yang lebih diperlukan ialah usaha menghias perarakan itu, dengan slogan laungan tersendiri, juga kain rentang atau poster raksasa, yang diolah secara kreatif sehingga ia dunia betul-betul dapat menyaksikan satu perhimpunan demokrasi paling menarik pernah diadakan di rantau ini. Jangan ulangi suasana demonstrasi anti-perang atau keganasan di Thailand yang hanya memaparkan poster-poster kecil, hitam putih dan tidak diuruskan dengan baik.
Biar ada pengarah, pengarah seni, penulis skrip, penulis lakon layar, pengarah kostum yang tahu segenap lorong dan jalan dari Dataran Merdeka ke Istana Negara. Biar ia nampak lebih meriah daripada sambutan 50 tahun merdeka di tempat yang sama 31 Ogos lalu. Gemblengkan kekuatan dan daya kreativiti ahli-ahli dan penyokong pembangkang. Kalau boleh gubah satu lagu khas, yang mudah untuk dilagukan bersama-sama.
Saya yakin jika semuanya diambil kira, kita dapat menyaksikan satu sejarah baru perjuangan menuntut demokrasi dibentuk pada 10 Nov itu. - mks.
II. Serbuan misteri, kalis peluru dan mesin pengimbas Bukit Kayu Hitam
Banyak persoalan timbul selepas tonton Buletin Utama TV3 malam Jumaat lalu, berkaitan berita pembunuhan dua anggota polis di Jalan TS2 Taman Suria, Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 7.30 malam tadi, iaitu -- L/Kpl Jaya Balan Krishman dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dan L/Kpl Alageson Malappan dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Pelik, dalam suasana keluarga meratap sedih, Perdana Menteri memilih untuk naik berang dan kecewa dengan operasi tangkapan itu. "Apa yang dimaklumkan kepada saya oleh Musa (Ketua Polis Negara), sepatutnya sebelum mereka membuat serangan mereka maklumkan kepada pihak-pihak polis sendiri supaya diadakan satu strategi mengepung dan cara-cara yang lain untuk mengelak apa yang berlaku.
"Tapi dia punya pendekatan tu tak kena. Kalau dibuat dengan betul dan dapatkan bantuan skuad-skuad tertentu, maka dapat kepung dan gunakan pembesar suara bagi tahu yang polis mengepung dan minta mereka keluar, maka tentulah pihak polis bersedia," kata Abdullah Ahmad Badawi.
Apakah ada sesuatu yang tak kena dalam serbuan itu? Ada kawan hantar SMS meneka misteri di sebalik operasi tak menjadi itu. Macam-macam spekulasi yang disebarkan terutama mengenai tujuan sebenar serbuan, yang boleh memalitkan lagi imej buruk kepada pasukan polis.
Kedua, kenyataan Musa bahawa dua anggota yang terkorban bersama dua lagi yang cedera parah, yang semuanya tidak memakai baju kalis peluru. "Buat masa ini baju kalis peluru tidak mencukupi. Kita akan mohon pada bahagian perolehan untuk membekalkannya kepada anggota yang menjalankan tugas-tugas berbahaya seperti operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik," kata Ketua Polis Negara itu.
Isu kekurangan baju kalis peluru pernah dibangkitkan pada tahun 2004 berikutan kejadian seorang koperal polis, Manja Manaf, 42, mati ditembak perompak di sebuah rumah di Taman Maharani, Jalan Haji Taib, Muar, Johor.
Waduh, sengkek sangat pasukan polis kita! Teringat projek angkasawan kita dan kenyataan Perdana Menteri yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri bahawa kita masih "banyak duit" untuk hantar angkawasan kedua.
Ketiga, lebih mengejutkan apabila Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (yang selalu bergaduh dengan polis dan Musa!), Johari Baharom mendedahkan pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu (Johari adalah Ahli Parlimen Kubang Pasu) mudah bolos.
Katanya, sudah lama mesin pengimbas rosak dan tidak diganti-ganti. Waduh-waduh, ini lagi bahaya dan menandakan sikap tidak bertanggungjawab. Rupanya itu sebab utama mengapa senjata api mudah diseludup dari negara jiran ke Malaysia! Bukan kita yang tuduh, Johari sendiri mengaku bahawa pintu sempadan mudah dibolosi senjata api dan dengan itu menyebabkan peningkatan jenayah bersenjata.
Kedua-dua catatan ini dipetik daripada detikdaily.net, bertarikh 26 Oktober
No comments:
Post a Comment