Sunday, October 28, 2007

Pemimpin banyak jasa kepada Johor

JOHOR BAHRU: Allahyarham Tan Sri Othman Saat, 83, adalah tokoh yang banyak berjasa membawa pembangunan kepada negeri ini terutama kepada masyarakat luar bandar seperti di kampung dan Felda, kata Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata, sepanjang perkhidmatannya selama 16 tahun Allahyarham banyak melaksanakan pembangunan di luar bandar seperti membuka tanah rancangan Felda membantu mengatasi masalah kemiskinan di negeri ini.

"Allahyarham adalah seorang pemimpin yang tegas dan amat dihormati oleh ahli Umno dan kakitangan kerajaan.


"Beliau juga berhasil memupuk persefahaman antara masyarakat termasuk ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) pada tahun 60-an dan 70-an sehingga usahanya itu dapat dikecapi dan diwarisi sehingga ke hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat jenazah di rumah mayat Hospital Sultan Ismail, di sini semalam.

Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd Ali Hassan, mengakui Allahyarham seorang pemimpin dihormati dan disegani.

Beliau berkata, sikap tegas dan prihatin kepada masyarakat menyebabkan beliau disayangi dan ditaati oleh orang ramai sehingga Umno dan kerajaan negeri dibawah kepimpinannya menjadi kuat.

"Allahyarham dianggap sebagai Bapa Pembangunan Luar Bandar Johor berikutan pelbagai sumbangannya kepada masyarakat luar bandar di negeri ini," katanya.

No comments: