JOHOR BAHRU 27 Okt. – Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat (gambar) yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sejak 1 Oktober lalu meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada pukul 7 pagi ini.
Menteri Besar ke-11 yang berkhidmat dari tahun 1967 hingga 1982 itu menghembuskan nafas terakhir di sisi beberapa anggota keluarga terdekat termasuk isteri kedua, Puan Sri Kamariah Bujang, 65, dan anak sulungnya, Zulkifli Othman, 61.
Berusia 84 tahun, Allahyarham meninggalkan sembilan anak iaitu lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 28 hingga 61 tahun, 32 cucu serta tujuh orang cicit.
Anak kelapan Allahyarham, Norulhuda Othman, 29, berkata, sebelum ini bapanya menjalani pemotongan kaki kanan akibat gangren di hospital itu pada 2 Oktober dan beransur pulih selepas itu.
“Keadaannya bertambah baik dan berupaya untuk duduk serta dapat pula menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama anggota keluarga pada 23 Oktober lalu,” katanya.
Bagaimanapun, menurut bekas wartawan akhbar The Star itu, keadaan bapanya mula lemah sejak dua hari lalu dan seterusnya tenat pada pukul 5 petang semalam.
“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk pihak HSI yang telah banyak membantu,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini, Allahyarham pernah dua kali diserang angin ahmar ringan iaitu pada 2001 dan 2002.
“Namun bapa tetap aktif dan sering melakukan pergerakan fizikal di sekeliling kawasan rumah,” katanya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah di sini sebelum solat Zuhur dan talkin dibacakan Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadut.
Turut menziarahi jenazah di tanah perkuburan ialah Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail; Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan dan beberapa anggota Exco kerajaan Johor.
Sementara itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, ada dua perkara yang menarik tentang Allahyarham, walaupun seorang Menteri Besar yang tidak berkelulusan tinggi namun beliau mampu mentadbir Johor dengan strategi pembangunan yang berkesan baik di bandar mahupun luar bandar.
‘‘Saya juga kagum dengan kepimpinan Allahyarham yang dalam apa juga keadaan sekali pun, tetap berpegang pada prinsip perjuangannya, di mana tidak pernah lupa dan tinggalkan UMNO lebih-lebih di peringkat akar umbi,” jelas beliau.
No comments:
Post a Comment