Sunday, October 28, 2007

Ceramah penjelasan saman Daily Mirror dan pelancaran dua buku malam ini

Harakahdaily
Sun | Oct 28, 07 | 8:18:58 am MYT

KUALA LUMPUR, 28 Oktober (Hrkh) - Ceramah perdana penjelasan saman PAS terhadap Daily Mirror akan diadakan di Dewan Fadzil Mohd Nor, Markaz Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar, dekat sini, malam ini bermula jam 9.00 malam.

Ceramah perdana itu membariskan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Naib Presiden, Haji Mohamad Sabu dan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Guaman PAS, Mohamed Hanipa Maidin.

Pada 22 Ogos lalu, Daily Mirror, sebuah akhbar berpengaruh di Britain, telah mengeluarkan kenyataan memohon maaf kepada Ustaz Abdul Hadi dan menyiarkan berita mengenainya di muka 2 akhbar terbabit kerana mendakwa Presiden PAS itu sebagai pemimpin nombor tiga al-Qaeda yang sedang ditahan di Guantanamoa Bay, Cuba dalam satu artikel terbitan 1 Mei 2007.

Menurut Daily Mirror, rujukan sebenar mereka ialah Abdul Hadi, seorang rakyat Iraq dan bukannya Abdul Hadi Awang, Presiden PAS, sebuah parti demokratik utama Malaysia.

"Beliau (Abdul Hadi Awang) tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Abdul Hadi al-Iraqi. Abdul Hadi bukan dan tidak pernah menjadi ahli al-Qaeda dan menentang tindakan ganas mereka," kenyataan Daily Mirror dipetik.

Minggu lalu, akhbar terbabit membuat kenyataan rasmi memohon maaf kepada Presiden PAS, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Royal Court of Justice London dan bersedia membayar ganti rugi bernilai RM500,000.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifli Ahmad, yang turut berada di London, jumlah pampasan yang diterima Ustaz Abdul Hadi adalah tertinggi setakat ini memandangkan mahkamah di Britain mengehadkan jumlah pembayaran pampasan kes-kes saman fitnah.

Bersempena dengan majlis ceramah perdana itu juga, Ustaz Abdul Hadi akan melancarkan dua buah buku terbitan Unit Buku Harakah bertajuk "Blindspot" dan "Beirut".

Sementara itu, Rumah Terbuka PAS Pusat akan berlangsung pada hari dan tempat yang sama mulai jam 2.00 petang hingga 5.00 petang.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan acara-acara di atas untuk beramah mesra dengan para pemimpin PAS.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Dato Kamaruddin Jaffar, Pejabat Agung PAS telah mengeluarkan 10,000 kad jemputan program tersebut.

Orang ramai dinasihati supaya datang secara berperingkat dan memberi kerjasama kepada petugas lalu lintas bagi memastikan kelancaran program./tajdid

No comments: