Sunday, October 28, 2007

Lebih 20 ribu hadir warnai rumah terbuka PAS

Intan Abdullah | Foto Wan Zahari Salleh
Sun | Oct 28, 07 | 7:47:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Hrkh) - Pelbagai lapisan masyarakat, yang bukan sahaja terdiri daripada pemimpin, ahli dan penyokong PAS, malah turut diserikan dengan pemerhati asing serta wakil-wakil NGO telah hadir dalam majlis rumah terbuka PAS yang diadakan petang tadi.


Image

Lebih 20 ribu orang yang turut diserikan daripada kalangan pelbagai bangsa turut hadir ke Rumah Terbuka PAS Pusat yang bertempat di Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar, Gombak itu.

Majlis yang diadakan secara tahunan ini adalah bertujuan untuk merapatkan silaturrahim antara pimpinan, penggerak, ahli serta penyokong PAS dalam kehangatan Syawal yang masih ada.

Namun, apa yang menarik dalam rumah terbuka pada kali ini adalah kehadiran yang menggalakkan daripada kalangan generasi muda yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Kebiasaannya, golongan muda yang memeriahkan majlis Aidilfitri PAS adalah terdiri daripada kalangan mereka yang berkopiah, beserban dan bertudung litup.

ImageWalau bagaimanapun keadaan tersebut berbeza pada kali ini, bila mana ia turut dihadiri oleh kalangan wanita yang berpakaian agak mendedahkan, remaja lelaki yang mengenakan jeans serta berambut panjang, tidak kurang juga kalangan profesional muda serta golongan pelajar.

"Bukan sahaja di majlis ini, kerana mereka ini sudah mula turut serta dalam majlis dan program anjuran PAS," demikian ulasan Presiden PAS, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama tetamu yang hadir.

Menurut beliau, selain ia merupakan petunjuk kepada angin perubahan yang bakal melanda pilihanraya umum tidak lama lagi, ia juga menjadi suatu harapan kepada survival perjuangan parti Islam itu sendiri.

Sementara itu, Setiausaha Muslimat PAS, Aiman Athirah berkata apa yang berlaku menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa PAS anti golongan muda.

Image"Ini membuktikan bahawa PAS kini sedang menjalani proses transformasi, dan dakwaan musuh-musuh yang menyatakan PAS anti golongan muda sudah tidak relevan lagi yang bermakna generasi muda hari ini lebih celik serta peka kepada perkembangan politik semasa," ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini agak sukar untuk menyaksikan wajah-wajah mereka dalam program PAS, mungkin disebabkan oleh rasa malu dan segan tetapi kini ia sudah tidak berlaku lagi.

Kalangan pimpinan Barisan Alternatif lain yang turut hadir, terdiri daripada Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor; ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua; Sivarasah Kandiah; Latheefa Koya; Koordinator Suara Rakyat Malaysia, Arutchelvan; wakil Macma, Saifudin Nasution; Setiausaha KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; Mustafa Kamil Ayub; Gobalakrishnan; Ronnie Liu serta beberapa ahli jawatankuasa Gabungan menuntut Pilihanraya bersih dan Adil (Bersih) serta pelbagai lapisan pimpinan PAS di semua cawangan, kawasan dan negeri.

ImageKelihatan juga beberapa wakil media dan bloggers yang turut serta memeriahkan majlis tersebut di samping menggunakan kesempatan untuk menemu bual pimpinan PAS mengenai isu-isu semasa.

Majlis yang dijadualkan bermula jam 2 petang menerima kehadiran tetamu seawal 1 tengahari dengan sambutan pada kali ini yang disifatkan lebih baik daripada penganjurannya pada tahun lalu.

Juadah yang disediakan iaitu Nasi Dagang Terengganu dan Kelantan, Sate, Bihun Goreng, Mee Goreng, Lemang, Rendang, Nasi Impit, Aiskrim, Murtabak, kuih raya dan tapai serta tiga perisa minuman telah menarik orang ramai yang hadir sehingga ia terpaksa ditambah menjelang jam 3 petang.

ImageDalam majlis yang sama, terdapat beberapa gerai dibuka iaitu gerai buku Harakah, Gerakan Mansuhkan ISA, sekretariat Bersih, dan yang paling mendapat sambutan ialah gerai Celcom.

Meskipun majlis telah bersurai dan pihak penggerai sedang mengemaskan barang mereka, orang ramai masih lagi berpusu-pusu untuk mendapatkan telefon percuma selepas mendaftarkan diri menukar pelan panggilan Celcom yang ditawarkan.

Begitu juga dengan gerai sekretariat Bersih yang sedang giat menjalankan kempen mobilasi rakyat sempena Perhimpunan Rakyat yang akan diadakan pada 10 November akan datang di Dataran Merdeka. Kaunter yang dibuka turut menjual kemeja-T dan 'head band' berwarna kuning untuk edaran kepada orang ramai.

ImageKemeja-T yang berharga RM13 habis dijual sehingga menyebabkan pihak sekretariat terpaksa mengambil tempahan bagi pelanggan yang berminat untuk mendapatkannya bagi menghadiri perhimpunan tersebut.

Sementara itu, tetamu dan orang ramai yang hadir juga tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan barisan kepimpinan PAS yang diketuai oleh Presiden dan Timbalan Musryidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din. Ada juga yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan foto kenangan berhari raya bersama pimpinan PAS.

Tua dan muda daripada pelbagai lapisan bangsa, budaya, dan agama daripada pelbagai pelosok negeri berpakaian indah ke majlis tersebut yang diadakan sekali setahun oleh PAS.

Majlis turut diserikan dengan alunan irama nasyid Aidilfitri yang dikendalikan oleh Haji Roslan Mohd Shahir yang bertindak sebagai juruacara majlis. Beliau juga berkesempatan untuk berbual mesra dengan beberapa pimpinan dan tetamu yang hadir dalam majlis tersebut.

ImageSelain itu, majlis ini juga disiarkan secara langsung menerusi webtv iaitu www.tvpas.com merangkumi temubual bersama pimpinan PAS serta temuramah dengan tetamu yang hadir.

Dalam pada itu, dewan makan yang disediakan penuh sesak dengan tetamu lelaki telah ditempatkan di Dewan Fadzil Noor, manakala wanita di pekarangan tempat letak kereta markas tersebut.

Aishah Man, 65, yang berkerusi roda adalah antara ribuan yang tidak ketinggalan untuk menyertai majlis tahunan PAS yang diadakan meskipun beliau uzur.

ImageProgram tahunan yang diselenggarakan oleh jawatankuasa sambutan Aidilfitri PAS Pusat yang terdiri daripada kakitangan Pejabat Agung PAS, Unit Amal, Skuad Serikandi Muslimat, petugas Nisa', Pemuda PAS Selayang serta Unit Amal Gombak disifatkan berjalan dengan lancar dan meriah.

Pada akhir program tersebut, kelihatan jawatankuasa sedang giat menjalankan usaha-usaha pembersihan dan mengemaskan kembali kawasan jamuan. - mks.

No comments: