Oleh Norfatimah Ahmad dan Hafizah Iszahanid
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam memberi jaminan kerajaan akan melindungi keselamatan saksi dalam siasatan kes klip video yang didakwa memaparkan rakaman penuh perbualan telefon antara seorang peguam dengan seorang yang dikatakan hakim kanan mengenai urusan pelantikan hakim pada 2002.
Perdana Menteri berkata, untuk tujuan itu polis akan diminta memberikan kerjasama bagi melindungi semua saksi berkenaan.
“Di mana diperlukan, kita berilah (perlindungan kepada saksi),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat saintifik tahunan Pertubuhan Torasik dan Kardiovaskular Sugeri Malaysia (MATCVS) ke-10, di sini, semalam.
Abdullah bagaimanapun, menjelaskan Rang Undang-undang Perlindungan Saksi sedang digubal.
“Peguam Negara kena tentukan undang-undang yang akan digunakan. Persediaan (rang undang-undang itu) belum sampai ke peringkat Kabinet lagi,” katanya.
Isnin lalu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengeluarkan perintah terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengemukakan klip video asal rakaman itu selewat-lewatnya, Khamis lalu ke pejabat BPR di Putrajaya.
Bagaimanapun, Anwar gagal menyerahkan rakaman klip video asal itu kepada BPR pada tarikh yang ditetapkan itu.
Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, dipetik sebagai berkata, Anwar perlu mematuhi perintah mengikut Seksyen 22(1) (b) Akta Pencegahan Rasuah 1997 bagi menyerahkan klip video asal itu.
Jika gagal mematuhi perintah itu, beliau dianggap melanggar Seksyen 29 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Pada 18 September lalu, BPR mula menyiasat bagi membantu Panel Bebas Khas yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohd Noor dan dianggotai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mahadev Shankar untuk menentukan kesahihan rakaman klip video itu.
Semalam, Anwar memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah BPR itu di Bahagian Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Abdullah berkata, jaminan sama perlu diberikan kepada saksi semua jenis kes bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan lancar.
Usaha mewujudkan Akta Perlindungan Saksi sudah bermula sejak 2000 apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ketika itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengemukakan draf cadangan akta berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri.
Malah, pada 2003, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang ketika itu Menteri Kehakiman berkata, Akta Perlindungan Saksi akan mengguna pakai model Australia kerana didapati lebih sesuai daripada Amerika Syarikat.
Sementara itu, mengenai permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menambah baju kalis peluru, Abdullah berkata, pihaknya akan memberi peruntukan tambahan supaya pasukan keselamatan itu dapat memiliki lebih banyak kelengkapan itu.
“Biar Ketua Polis Negara kemukakan permohonan untuk peruntukan itu,” katanya.
Dalam kejadian pada 8.15 malam Jumaat lalu, empat anggota polis berpakaian preman ditembak sekurang-kurangnya 10 das oleh penjenayah, dipercayai lebih seorang ketika menyerbu sebuah rumah di Taman Suria, Desa Aman, Sungai Buloh yang disyaki dijadikan pusat pengedaran dadah.
Dua anggota polis terbunuh dikenali sebagai Lans Koperal Jaya Balan Krishnan dari Ibu Pejabat Polsi Daerah (IPD) Gombak dan Lans Koperal Alageson Malappan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Dua yang cedera, Cif Inspektor Rajakuma Laju dari JSJ Komersil Bukit Aman dan CIp Inspektor Helmi Zakaria dari Cawangan Narkotik IPD Gombak, kini dirawat di Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.
No comments:
Post a Comment