Sunday, October 28, 2007

Perhimpunan Agung Umno: Rafidah memang patut dicabar!

Azamin Amin
Sun | Oct 28, 07 | 10:22:54 am MYT

Pertembungan antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato' Seri Rafidah Aziz dan Menteri Belia dan Sukan Dato' Azalina Othman sudah dijangka malah ditunggu ramai pihak memandangkan Rafidah sudah mempunyai rekod buruk dalam sejarah susur galur politik negara.

Cadangan mencabar jawatan itu telah dicetuskan oleh Umno bahagian Cheras ketika umat Islam menyambut Aidilfitri dan Ketua Bahagiannya Dato' Syed Ali Alhabshi berpendapat bahawa Ketua Wanita Umno itu sudah berusia 64 tahun, sama usia sewaktu Tan Sri Aishah Ghani menyerahkan jawatan itu kepada beliau pada 1984.

Bagaimanapun cetusan ini disanggah oleh ahli Parlimen yang didakwa bermasalah dalam salah laku moral Dr Rozaidah Talib yang tidak senang dengan pendapat Syed Ali dan menyatakan bahawa beliau tidak selesa bila mana lelaki meletakkan 'agenda' mereka ke atas wanita, katanya yang dipetik daripada akhbar berbahasa Inggeris.

Itu pergolakan dalaman Umno, namun rakyat pasti tidak lupa dengan lakonan dan persembahan Rafidah sebagai orang yang pertama meluru naik ke pentas sehingga kasut tumit tingginya patah, menerkam Tun Dr Mahathir yang ketika itu sedang mengumumkan perletakkan jawatannya di penutup Mesyuarat Agung Umno pada tahun 2002.

Pemberian Permit Import (AP)

Namun beliau juga yang menjadi juara menentang Mahathir dalam isu Permit Import (AP) yang mencetuskan kontroversi sehingga mendedahkan penerima AP dan menimbulkan kekecohan.

Isu itu mendedahkan tiga orang iaitu Nasimuddin SM AMin, Syed Azman Syed Ibrahim dan Mohd Haniff Abdul Aziz, memegang kebanyakan daripada 67,157 AP bagi mengimport kereta termasuk bekas pegawai Miti yang rapat dengan Rafidah yang tidak ada pengalaman dalam industri automobil ini turut tersenarai sebagai penerima atau anugerah terbesar AP ini.

Persoalan juga timbul tentang bagaimana 20 syarikat diberikan 80 peratus AP kerana ini menjejaskan dasar untuk memajukan bumiputera sebagai usahawan dalam bidang auto-mobil.

Kisah Rafidah tidak berakhir di situ tatkala sebuah laman web pula melaporkan beliau sebagai menteri yang tidak bertanggungjawab apabila membiarkan bil telefonnya tertunggak bertahun-tahun lamanya sehingga mencecah mencecah RM 10,291.17.

Ini tindakan dianggap paling tidak adil kepada rakyat, apabila rakyat gagal membayar bil-bil utiliti seperti elektrik, air dan telefon, maka dengan pantasnya pihak berkenaan akan menambil tindakan dengan memotong perkhidmatan namun menteri seperti Rafidah ini tidak menjelaskannya, pihak TM senyapkan sahaja.

Dilaporkan juga sebelum itu, Rafidah mempunyai kesalahan trafik, tetapi payah untuk membayar saman tersebut biarpun polis bermurah hati memberi diskaun kepadanya walaupun tidak dipinta dan sepatutnya layanan tersebut diberikan kepada rakyat biasa.

Rafidah mendapat 10 saman dan jumlah samannya RM3,000, tetapi dia hanya perlu bayar RM1,180 selepas diskaun sebanyak RM 1,820 atau 61%.

Mengikut laporan Malaysiakini anaknya Alfian Mohamed Basir, 33, telah membuat laporan kewangan palsu mengenai kedudukan kewangan Kumpulan NasionCom yang anak beliau menjadi pemiliknya.

Alfian mendakwa kumpulan NasionCom sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di Negara ini telah membuat keuntungan berjumlah RM200 juta pada tahun 2005, tetapi dalam siasatan pihak Suruhanjaya hanya mendapati keuntungan Kumpulan Syarikat NasionCom hanyalah sebanyak RM143,109,727 sahaja.

Kenduri saham anak menantu

Difahamkan laporan kewangan palsu itu dibuat untuk mengaburi mata para pelabur supaya berlumba-lumba membeli saham syarikat kumpulan NasionCom dan memudahkan anak Rafidah ini mendapatkan pinjaman dari mana-mana institusi-institusi kewangan.

Kes rasuah beliau seringkali diingati rakyat Malaysia walaupun dinafikan Peguam Negara (AG) kerana pendedahan ini telah menyebabkan Pengerusi Gerak kini Ezam Mohd.Noor pernah merengkok dalam penjara selama dua tahun dan juga ditahan di bawah ISA.

Menurut Tun Telanai melalui laman blognya, laporan rasuah Rafidah telah dibuat oleh Anwar pada 9 Julai 1999 di Balai Polis Tun H.S Lee berkaitan saham diluluskan oleh Rafidah yang ketika itu sebagai Pengerusi Pembahagian saham Bumiputera di Miti.

Rafidah didakwa mengagihkan dan meluluskan 1.5 juta saham Syarikat Leader Universal Holding Berhad kepada anak menantunya yang bernama Fazrin Azwar bin Mohd. Nor dan meluluskan pengagihan 4,173,190 unit saham FACB kepada Fazrin.

Selain sebagai wakil rakyat yang jarang turun ke Kuala Kangsar, dilaporkan beliau merupakan antara Menteri yang paling malas ke Parlimen dan hanya hadir 31 hari dalam tempoh enam tahun atau 400 kali Parlimen bersidang.

Ini kerana masanya banyak dihabiskan dan gemar menghadiri mesyuarat, forum, seminar dan lawatan perdagangan di luar negara kerana ianya lebih berimejkan antarabangsa serta penuh glamour di samping dapat mempertingkat imej popularnya di peringkat antarabangsa.

Agen Amerika sokong FTA

Ogos lalu,Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Azmi Abdul Hamid turut menyelar sikap pemimpin kerajaan yang tidak mengendahkan nasib rakyat yang bakal tertindas akibat daripada perjanjian FTA ini.

"Kami bantah sekeras-kerasnya dan akan melakukan tindakan yang lebih keras sekiranya Malaysia tidak berundur dan membatalkan perjanjian itu," dan tambahnya lagi " dan ternyata rundingan FTA ini menunjukkan ada tali barut dalam kerajaan Malaysia!" katanya tegas.

"Dan kita kutuk perjanjian ini. Rafidahlah bertanggungjawab dan dia adalah agen Amerika!" katanya sambil disambut sorak oleh para peserta demonstrasi.

Kata Azmi lagi, rakyat Malaysia tidak rela sekali lagi dijajah setelah 50 tahun merdeka dan rundingan FTA ini merupakan bentuk penjajahan baru yang bakal menggadaikan kedaulatan negara.

Sama ada wajib dicabar atau disingkirkan, jawatan apa sekalipun sememangnya tidak layak dipegang oleh manusia yang bernama Rafidah!

Mungkin Azalina atau Sharizat boleh menjadi penyelamat atapun sama sahaja, biarlah rakyat menentukannnya. - mks.

No comments: