Sunday, October 28, 2007

Othman pejuang kemiskinan Melayu

Oleh Mohd Zin Ali, Johan Afandi dan Mohd Roji Abdullah



ALLAHYARHAM Tan Sri Othman Saat, 83, Menteri Besar Johor yang ketiga dilahirkan di Kampung Tengah, Muar kepada seorang pedagang beras pada 4 April 1924. Beliau mendapat pendidikan agama di Sekolah Tinggi Arab Madrasah Al-Attas di bandar raya ini dan kemudian melanjutkan pendidikannya di Makkah selama dua tahun.

Selepas kepulangannya dari Timur Tengah ketika berumur 16 tahun, Othman memulakan kerjayanya dengan syarikat perniagaan ayahnya.


Kehidupan politiknya bermula apabila wujudnya gerakan nasionalisme Melayu pada dekad 1940-an.

Beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) selepas parti itu ditubuhkan di Batu Pahat oleh Datuk Onn Jaafar pada 1946 dengan Othman menjadi salah seorang ahli jawatankuasa Umno pada 1952.

Pada 1955, Allahyarham menyertai Pilihan Raya Umum, dan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Jorak tanpa bertanding.


Beliau menjadi ahli Exco Johor pada 1958. Pada 1964, Othman dilantik sebagai ahli Exco yang bertanggungjawab kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Ketika itu beliau memulakan skim rumah kos rendah untuk golongan miskin.

Pada Februari 1967 ketika berusia 43 tahun, Othman dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

Beliau yang terkenal sebagai seorang yang cukup tegas dan lantang bersuara itu kemudian menyandang jawatan sebagai Menteri Besar selama tiga penggal sehingga 1982.

Pada April 1982, Othman meletakkan jawatan Menteri Besar selepas berkhidmat selama 16 tahun sebagai pemimpin nombor satu di Johor.

Beberapa tahun kemudian pada 1987, beliau menyertai parti politik Semangat 46 yang ditubuhkan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Umno pada pilihan raya umum 1990.

Keadaan kesihatan Allahyarham dikatakan kurang baik sejak beliau menghidap penyakit angin ahmar pada 2001. Allahyarham kemudian dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail pada 22 September lalu kerana sakit tulang belakang akibat terlantar terlalu lama sejak tiga tahun lalu.

Allahyarham kemudian menjalani pembedahan memotong kaki kanannya dari paras lutut akibat gangren pada 26 September lalu.

Bagaimanapun, keadaan kesihatan Allahyarham semakin kritikal sejak dua hari lalu dan kira-kira jam 7 pagi semalam doktor mengesahkan beliau meninggal dunia.

Menteri Besar Johor yang memegang rekod paling lama berkhidmat iaitu dari 1967 hingga 1982 itu mempunyai sembilan anak berusia antara 28 dan 61 tahun hasil perkongsian hidup dengan tiga isteri.

Beliau meninggalkan seorang balu, isteri keduanya, Puan Sri Kamariah Bujang, 65. Isteri pertamanya, Rokiah Alwee, 62, meninggal dunia pada 1990.

Allahyarham meninggalkan jasa dan pengorbanan besar kepada penduduk Johor seperti melaksanakan program mengatasi kemiskinan.

Antara langkah yang diambilnya ialah membuka banyak tanah rancangan Felda di negeri itu untuk mengubah nasib petani miskin menerusi pelaksanaan pertanian secara lebih teratur.

No comments: