Sunday, October 28, 2007

Allahyarham Othman Saat anak Johor yang hebat – Abdullah

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat, 80, yang meninggal dunia pagi ini sebagai anak watan Johor yang hebat.

Sambil menganggap ia suatu kehilangan besar kepada parti dan kepimpinan nasional, Perdana Menteri berkata, Allahyarham akan dikenang sebagai tokoh yang memulakan usaha-usaha ke arah pemodenan negeri pengasas UMNO itu.

Beliau yang menerima berita pemergian Othman ke rahmatullah pada pukul 11.30 pagi ini turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

‘‘Allahyarham telah menetapkan momentum untuk pemodenan Johor. Di bawah kepimpinannya, Johor menjadi negeri yang begitu stabil.

‘‘Walaupun Allahyarham menjadi Menteri Besar di Johor sahaja namun beliau merupakan sebahagian daripada kepimpinan nasional menerusi penglibatannya dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan Barisan Nasional (BN),’’ katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.

Allahyarham Othman meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Pandan dekat Johor Bahru pagi ini akibat septisemia (keracunan darah).

Menurut anak perempuannya, Shaukat, bapanya yang memegang jawatan Menteri Besar Johor selama 16 tahun dari 1967 sehingga 1982 meninggal dunia kira-kira pukul 7 pagi.

Allahyarham mempunyai sembilan orang anak hasil daripada tiga perkahwinan, 32 cucu dan tujuh cicit.

Othman yang dilahirkan di Kampung Tengah, Muar pada 4 April 1927 bergiat aktif dalam UMNO sejak parti itu ditubuhkan pada 1946.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor yang ketiga pada Februari 1967 ketika berusia 43 tahun.

No comments: