Sunday, October 28, 2007

Bekas MB Johor meninggal

Oleh Mohd Zin Ali


Othman Saat

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat, 83, meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini pagi semalam akibat keracunan darah (septisemia).

Allahyarham yang nazak sejak dua hari lalu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 7 pagi semalam di sisi isterinya, Puan Sri Kamariah Bujang, 65, dan anak-anaknya.

Anak sulungnya, Zolkifli, 61, berkata seluruh ahli keluarga sudah berkumpul apabila doktor yang merawat memaklumkan keadaan bapanya semakin kritikal, kira-kira jam 5 petang kelmarin.


Beliau berkata, sejak dimasukkan ke hospital berkenaan kira-kira dua bulan lalu, bapanya tidak mampu bercakap tetapi memahami percakapan ahli keluarga dan tetamu yang datang melawatnya.

"Selepas menjalani pembedahan bagi memotong kaki kanannya dari paras lutut akibat gangren pada 26 September lalu, keadaan beliau semakin stabil dan menunjukkan tindak balas positif dan membuka mata apabila namanya dipanggil anak-anak dan tetamu yang menziarahinya," katanya.

Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Jalan Padang 1, Stulang Baru, selepas dimandi dan dikafankan di bilik mayat HSI.

Allahyarham disembahyangi di Masjid Sultan Abu Bakar dan dikebumikan di tanah Perkuburan Mahmoodiah, di sini sebelum solat Zuhur semalam.

No comments: