Sun | Oct 28, 07 | 7:41:03 am MYT
Sepanjang Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Presiden Umno mulai 2004 yang lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah menghadirkan diri di dalam Persidangan Perhimpunan Agung Umno.
Daripada tahun 2004, 2005, 2006 tiada langsung kelibat Dr Mahathir berada di Perhimpunan Agung Umno yang ditinggalkannya pada tahun 2003 yang lalu. Dan pada tahun ini, timbul persoalan adakah bekas Presiden Umno ini yang mengetuai parti lebih daripada 20 tahun akan hadir atau sebaliknya.
Kerana itu, dalam sidang media yang diadakan pada 24 Oktober 2007 lalu oleh Setiausaha Agung Umno, Dato' Seri Radhi Sheikh Ahmad pertanyaan yang ditimbulkan oleh wartawan adakah Dr Mahathir dijemput ke perhinpunan ini?
Kita tidak tahu perasaan Dr Mahathir terhadap kepemimpinan Umno sekarang. Adakah dia benar-benar kecewa sehingga tidak mahu hadir dalam setiap Perhimpunan Agung Umno ini selepas melepaskan jawatan? Atau pada tahun ini dia berubah sikap untuk turut hadir dalam Perhimpunan Agung Umno 2007.
Segala-galanya akan terjawab pada pada perhimpunan tersebut sama ada perwakilan Umno menemui kelibat bekas pemimpin mereka atau sebaliknya.
Bagaimanapun, pada tahun 2006 yang lalu adalah tahun yang paling 'mengecewakan' bekas Perdana Menteri Malaysia yang mentadbir negara selama 23 tahun lamanya.
Difahamkan pada 11 Mei 2006, ketika kepemimpinan Umno menyambut ulangtahun parti ini secara luar biasa di Istana Sultan Johor dia dikatakan tidak mendapat sebarang jemputan dari Ibu Pejabat Umno Malaysia sebaliknya dari Istana Johor. Kerana itu, Dr Mahathir boleh hadir di majlis tersebut.
Pada tahun itu juga berlakunya serangan media terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi oleh Dr Mahathir.
Abdullah Ahmad Badawi tidak agresif menjawab serangan tersebut sebaliknya beberapa Menteri Kabinet dan Menteri Besar menyerang Dr Mahathir kembali.
Malahan yang lebih mengejutkan menantu Abdullah Ahmad Badawi, Khairy Jamaludin menjawab beberapa maklumat tuduhan Dr Mahathir walaupun kedudukannya sebagai Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia.
Kesan teruk yang diterima oleh Dr Mahathir adalah apabila dia tewas dalam pertandingan G-7 di Persidangan Umno bahagian Kubang Pasu. Situasi ini pernah berlaku kepada anaknya, Dato Mukhriz Mahathir apabila dia mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian Kubang Pasu tetapi tewas pada tahun 2004 yang lalu.
Bagaimanapun, semasa pemilihan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, anak Dr Mahathir ini mendapat undi yang tertinggi yang dianggap oleh sesetengah pemerhati sebagai 'silent protes' terhadap kemenangan yang diperolehi menantu Abdullah Ahmad Badawi ini untuk kerusi Naib Ketua Pergerakan Pemuda.
Pada tahun 2006 juga, hanya isteri Dr Mahathir , iaitu Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang hadir dalam Perhimpunan Agung Umno tersebut.
Sesuatu yang memeranjatkan adalah apabila para perwakilan Umno ketika itu bangun dan memberikan tepukan gemuruh kepada isteri Dr Mahathir yang membuktikan bahawa bekas Presiden Umno ini masih popular di kalangan perwakilan Umno.
Pada tahun itu juga, Dr Mahathir memberikan alasan kuat iaitu faktor kesihatan yang menghalang beliau untuk hadir dalam Perhimpunan Agung Umno ke-60 ini.
Tetapi lebih ironis sekali apabila Dr Mahathir berkeupayaan untuk hadir dalam beberapa program lain yang dianjurkan oleh pelbagai pihak dan pertubuhan untuk berucap hampir dua jam lamanya sedangkan dia tidak hadir di dalam Perhimpunan Agung Umno ini.
Kita boleh memahami faktor kesihatan menghalang Dr Mahathir untuk hadir dalam Perhimpunan Agung Umno kali ini. Keluarga dan para doktor juga memberikan nasihat agar bekas Presiden Umno ini berehat seketika memandangkan situasinya yang melakukan pembedahan sebanyak dua kali. Dr Mahathir sememangnya berhak berbuat demikian dan ia tidak perlu diragui oleh ahli dan perwakilan Umno.
Tetapi agak pelik sedikit apabila sejak Abdullah Ahmad Badawi memegang jawatan Presiden dari tahun 2004-2006 dan mungkin 2007 ini mengapa Dr Mahathir masih 'enggan' hadir dalam Perhimpunan Agung Umno. Dia tidak perlu berucap mahupun berdiri selama berjam-jam sebaliknya sekadar mendengar ucapan dasar dari Presiden parti.
Barangkali dia sudah terlalu kecewa dan semakin memahami memahami budaya Umno - ada jawatan ada wang, ada kuasa dan ada kawan. Tiada jawatan hilang wang, hilang kuasa dan hilang kawan.
Itulah budaya Umno yang mahu diterapkan kepada orang-orang Melayu sekarang dan jangan sekali-kali diikut atau dicontohi oleh orang-orang yang celik dan sedar.
Pemimpin Umno sanggup 'membuang' bekas pemimpin mereka sendiri walapun jasa-jasa pemimpin mereka begitu besar sehingga menyebabkan ada di antara mereka yang sudah bergelar korporat dan kaya raya.
Bagaimanapun, mungkin ada faktor lain yang menyebabkan Dr Mahathir tidak dapat hadir.
Keadaan ini turut berlaku kepada salah seorang editor akhbar alternatif apabila di dalam sejarah kewartawanannya dia terlena beberapa kali apabila Abdullah Ahmad Badawi berucap.
Editor ini terlena di hadapan TV sepertimana terlenanya Abdullah Ahmad Badawi ketika hadir dalam beberapa upacara rasmi. - mks.
No comments:
Post a Comment