KUALA LUMPUR 27 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius penggubalan Akta Perlindungan Saksi bagi menjamin keselamatan mereka yang memberi maklumat dan keterangan.
Menurut Perdana Menteri, perkara tersebut akan dilakukan oleh pejabat Peguam Negara sejajar dengan tanggungjawab mereka menggubal undang-undang negara.
Namun begitu, katanya, hasil kajian penggubalan akta tersebut masih belum sampai ke peringkat Kabinet.
“Di mana diperlukan dia (saksi) dijaga, kita akan beri perlindungan peribadi. Ini satu perkara yang dalam pertimbangan aktif.
“Pejabat AG (Peguam Negara) yang akan menentukan undang-undang yang akan digunakan. Ia (penggubalan akta) belum sampai ke peringkat Kabinet lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Ke-10 Persatuan Pembedahan Torasik dan Kardiovaskular Malaysia di sini, hari ini.
Perdana Menteri memberi reaksi sedemikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan memperkenalkan Akta Perlindungan Saksi bagi melindungi keselamatan saksi.
Perkara tersebut menjadi topik hangat baru-baru ini ekoran keengganan pemberi maklumat klip video skandal kehakiman mendedahkan diri atas sebab ketiadaan akta tersebut.
Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pembentangan Rang Undang-Undang Perlindungan Saksi akan disegerakan di Dewan Rakyat dan ia akan dipastikan mengandungi peruntukan retrospektif.
No comments:
Post a Comment