Sunday, October 28, 2007

Ahli Umno diminta kemuka fakta dalam hujah

KUALA TERENGGANU: Jangan bercakap kosong atau atas angin tanpa fakta - itulah pesanan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Adnan Yaakob kepada perwakilan peringkat bahagian yang akan turut serta dalam mengemukakan usul dan perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno ke-58 bermula 5 November ini.

Sebaliknya, beliau meminta perwakilan membuat kajian dan mengemukakan hujah yang disokong fakta kukuh termasuk berusaha memperolehi data daripada kementerian yang berkaitan dengan usul dan inti pati perbahasan.

Adnan yang juga Menteri Besar Pahang, berkata hujah yang bernas disokong dengan data lengkap membantu pucuk pimpinan merangka dasar dan memantapkan lagi kepimpinan dan jentera parti.


"Kalau boleh setiap perwakilan di semua bahagian berfikir dengan mendalam atau buat kajian isu yang hendak diperkatakan, sebagai contoh jika mahu bercakap soal pekerja asing, dapatkan butiran lengkap daripada Kementerian Sumber Manusia... kalau mahu bercakap mengenai pelajaran dapatkan daripada Kementerian Pelajaran.

"Dengan itu apabila kita (perwakilan) bercakap ada hujah, data untuk memperkukuhkan alasan... walaupun berbentuk sedikit perkauman tetapi jika satu hakikat ia boleh dibantu... jangan cakap atas angin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar di Kampung Gelugor, di sini, semalam.

Adnan berkata melalui pemerhatian beliau, hanya 50 hingga 60 peratus perwakilan yang berpeluang bercakap pada perhimpunan memberikan fakta tepat dan hujah bernas yang diperkukuhkan dengan kajian mendalam.

No comments: