Monday, October 29, 2007

Perwakilan diminta jaya Misi 2057

Oleh Azman Zakaria

KUALA LUMPUR: Perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno kali ini perlu memberi fokus kepada agenda penting iaitu usaha membantu menjayakan Misi 2057 dan memperkukuhkan lagi kekuatan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata momentum kejayaan negara dalam pelbagai bidang selepas 50 tahun merdeka mesti digandakan bagi mencapai Wawasan 2020, seterusnya Misi 2057.

Katanya, perwakilan harus menggunakan peluang dengan memberi cadangan dan pandangan, termasuk dalam soal memajukan negara yang merangkumi pelbagai bidang bagi memastikan rakyat dan negara terus membangun mengikut acuan sendiri seperti ditekankan dalam Misi 2057.


Misi 2057 pertama kali diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) 12 Mac lalu, sebagai kesinambungan Wawasan 2020 bagi memastikan rakyat terus membangun mengikut acuan sendiri selepas Malaysia menjadi negara maju.

Misi itu memberi penekanan terhadap modal insan, pembangunan jiwa bangsa dan perpaduan kaum dalam tempoh 37 tahun Malaysia sebagai negara maju, menuju ulang tahun ke-100 kemerdekaannya.

“Inilah antara perkara yang mesti diberi tumpuan oleh perwakilan,” katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata, Perhimpunan Agung parti yang akan diadakan dari 5 hingga 9 November ini, juga penting bagi memperkukuhkan jentera pilihan raya parti kerana ia mungkin Perhimpunan Agung terakhir sebelum pilihan raya umum nanti.

Sehubungan itu, katanya, perwakilan diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan mencari pengaruh atau sokongan sebagai persediaan bagi merebut jawatan parti pada pemilihan akan datang.

“Bagaimanapun saya yakin, perwakilan matang dan tahu yang mana mesti diberi keutamaan.

“Tumpuan mesti diberi kepada agenda yang lebih penting untuk pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat serta usaha untuk memastikan kemenangan parti pada pilihan raya umum,” katanya.

Beliau juga berkata, ahli Umno yang belum mendaftar sebagai pemilih diminta segera berbuat demikian.

Jika mendaftar sekarang, katanya, mereka berpeluang mengundi jika pilihan raya umum diadakan tahun depan.

No comments: