Thursday, August 20, 2009

Umno sah calon layak bertanding

Umno sah calon layak bertanding

KUALA LUMPUR: Calon Barisan Nasional (BN), Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman yang dibatalkan sijil amalan guaman pada tahun lalu, layak bertanding pilihan raya kecil kawasan itu, kata Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Katanya, kelayakan itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, manakala isu tindakan tatatertib pengamal undang-undang tertakluk Akta Profesyen Undang-Undang (LPA) 1976.

“Tiada kaitan kedua-duanya. Tidak timbul salah laku jenayah kecuali ada sabitan di mahkamah, hukuman dijatuhkan dan tiada pengampunan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan seseorang hanya hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen atau Dewan Undangan Negeri jika tidak sempurna akal, muflis yang belum dilepaskan, memegang jawatan berkepentingan dan gagal menghantar penyata belanja pilihan raya pada masa dan mengikut cara dikehendaki.

Jika calon disabitkan kesalahan oleh mahkamah dan dipenjara tidak kurang setahun atau denda kurang RM2,000 dan tidak mendapat ampun serta hilang kewarganegaraan juga boleh hilang kelayakan.

Pada 14 Mac 2008, Rohaizat menerima surat Lembaga Tatatertib Peguam Bela dan Peguam Cara menyatakan beliau dibatalkan daripada Daftar Peguam Bela dan Peguam Cara berhubung aduan kegagalannya mengembalikan RM161,000 kepada Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang Bhd selepas transaksi pembelian satu hartanah dibatalkan.

Mohd Hafarizam berkata, tindakan terhadap Rohaizat dibuat mengikut Seksyen 103D LPA seperti tindakan terhadap pengarah syarikat diperbadankan menyamai proses badan profesional lain seperti Majlis Perubatan Malaysia dan Persatuan Arkitek Malaysia.

“Dalam konteks Umno, ia seperti Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan salah laku tataetika ahli tetapi tidak bermakna ahli terbabit melakukan pecah amanah dan sebagainya, ” katanya.

Mohd Hafarizam berkata, tindakan tatatertib yang dikenakan terhadap Rohaizat juga atas kapasiti bersama dan berasingan yang kebiasaannya digunakan dalam undang-undang lazim perkongsian selaras Akta Perkongsian 1961.

Malah, katanya, rakan kongsi dalam firma guaman terdedah kepada liabiliti yang tidak terhad termasuk perilaku jenayah, kecuaian dan pengabaian rakan kongsi dalam firma guaman.

No comments: