Thursday, August 20, 2009

Kes Norza dituduh rasuah disebut semula 15 Sept.

Kes Norza dituduh rasuah disebut semula 15 Sept.

TEMERLOH 19 Ogos - Kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 15 September ini.

Hakim Azuar Che Yusof menetapkan tarikh berkenaan hari ini selepas peguam Jahaberdeen Mohd. Yunoos yang mewakili Mohamad Norza memohon tempoh tiga minggu untuk pihaknya menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes terbabit kepada pihak pendakwaan supaya isu representasi kedua-dua tertuduh dapat diselesaikan.

Mohamad Norza yang lengkap memakai sut kelabu, hadir di mahkamah dengan ditemani lebih kurang 20 orang penyokong dan rakannya.

Selain Jahaberdeen, Mohamad Norza turut diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Mohamad Norza, 43, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung UMNO Mac lalu.

Beliau juga menghadapi satu lagi pertuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama.

Kedua-dua tuduhan itu didakwa dilakukan di No 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh pada pukul 6.30 petang, 20 Januari lalu.

Halimi, 47, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan pula mengaku tidak bersalah atas dua tuduhan memberikan suapan itu kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.







Sebutan semula kes Norza 15 September


TEMERLOH: Mahkamah Sesyen di sini semalam, menetapkan 15 September ini bagi sebutan semula kes rasuah membabitkan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria dan ejennya, Halimi Kamaruzzaman.

Hakim Azuar Che Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Mohamad Norza, Jahaberdeen Mohd Yunoos yang memerlukan tiga minggu untuk pihaknya menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes terbabit kepada pihak pendakwaan supaya isu representasi kedua-dua tertuduh dapat diselesaikan.

Mohamad Norza yang lengkap bersut kelabu hadir di mahkamah sambil diiringi kira-kira 20 orang penyokongnya.

Mohamad Norza, 43, bekas anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, dituduh memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan untuk mengundinya memenangi jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno Mac lalu.

Beliau menghadapi satu lagi tuduhan memberi suapan RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus menerusi Halimi bagi tujuan sama pada 20 Januari lalu.

Halimi mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan memberikan suapan kepada Khadri dan Mohammad Anuar pada tarikh dan di tempat yang sama.

No comments: