Thursday, August 20, 2009

ISA, Akta Polis 1960 ke Parlimen Oktober

ISA, Akta Polis 1960 ke Parlimen Oktober

Kerajaan timbang benar perhimpunan di stadium, lokasi tertentu

PUTRAJAYA: Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Akta Polis 1960 membabitkan perhimpunan umum termasuk untuk tujuan politik di lokasi dikhaskan yang tidak memerlukan permit polis adalah antara pindaan akta yang dicadang dibahaskan di Parlimen Oktober ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Seksyen 27 Akta Polis akan dikaji semula bagi membolehkan perkara berkaitan perhimpunan umum dilaksanakan dengan paling penting ialah mengenai keselamatan dan kestabilan negara.

Katanya, menurut seksyen itu, kerajaan turut menimbang membenarkan penganjuran perhimpunan di stadium atau di kawasan dalam bandar dan lokasi untuk mengadakan perhimpunan di tempat terkawal juga akan diumumkan tidak lama lagi. "Memang selama ini, polis memberikan permit bagi mengadakan perhimpunan secara aman. Apabila polis memberikan permit, anda boleh berhimpun sampai Subuh, nak melalak dan melolong... buatlah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan kawalan terhadap media bersama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di pejabatnya di sini, semalam.

Mesyuarat khas itu susulan keputusan Jemaah Menteri sebelum ini yang mana Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, dipertanggungjawab menyelaras beberapa tindakan dan pendekatan yang menyentuh peranan dan fungsi agensi di bawah kementerian masing-masing.

Antara yang dibincang semalam ialah usaha menyelaras tindakan dan kerjasama di kalangan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), polis dan Jabatan Peguam Negara bagi memu-dahkan sebarang tindakan diambil mengikut Akta Hasutan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan hasutan dan memastikan mana-mana kes yang didakwa adalah benar-benar kukuh dan berupaya disabitkan kesalahannya.

Mengenai pindaan terhadap ISA, beliau berkata mereka turut membincangkan mengenai cadangan memendekkan tempoh tahanan selama 60 hari seperti sekarang.

"Dalam konteks kita, bagaimana ISA diperkenalkan pada 1960, ia adalah relevan dan berdasarkan ancaman hari ini dan jika tempoh 60 hari itu boleh dikurangkan dan memastikan orang ramai merasakan akta itu bukan alat politik," katanya.

Beliau berkata, ISA tidak seharusnya dilihat sebagai alat politik, sebaliknya bertujuan mengawal keselamatan dan kestabilan negara dan ia masih relevan buat masa ini untuk membanteras pengganas.

Malah, katanya ahli politik yang didapati mengancam keselamatan negara termasuk mencetuskan sentimen perkauman juga boleh dikenakan ISA.

Menjawab soalan, Hishammuddin berkata, buat masa ini kerajaan akan mengekalkan nama ISA.

"ISA digunakan ketika zaman komunis dan darurat. Ia adalah relevan kepada banyak negara termasuk Malaysia.

"Perkara pokoknya ialah menjadikannya lebih relevan pada masa ini. Anda boleh andaikan bahawa kita memang menuju arah berkenaan. Kita sedang melihat semua aspek bagi memuaskan semua orang," katanya.

Sementara itu, Rais berkata, SKMM dan polis sedang meneliti kes berkaitan laman web dan blog melanggar undang-undang negara termasuk hasutan terhadap agama dan Raja mengikut Akta SKMM 1998.

No comments: