Thursday, August 20, 2009

Kenyataan bersumpah bersih nama jika perlu

Kenyataan bersumpah bersih nama jika perlu


ROHAIZAT dan Isteri, Khairul Niza Abdul Razak melawat Tan Siong Cheng yang uzur di rumahnya di Kampung Cross Street, semalam.

Rohaizat tak bersalah, kes sudah selesai: Muhyiddin

BUKIT MERTAJAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta calon Barisan Nasional (BN), Rohaizat Othman, membuat kenyataan bersumpah jika perlu bagi membersihkan namanya atas dakwaan beliau melakukan salah guna wang firmanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya Rohaizat tidak bersalah kerana tiada tindakan dibuat untuk membawa kes itu ke mahkamah, malah pihak yang membuat aduan sudah menarik balik tuduhan itu.

"Tindakan Majlis Peguam terhadap Rohaizat hanya membabitkan soal disiplin selepas beliau tidak menghadiri sesi pendengaran Lembaga Disiplin kerana tidak sihat.

"Beliau juga sudah menyelesaikan kesnya dengan pengadu dan kes tidak membabitkan pecah amanah tetapi hanya masalah disiplin," katanya pada sidang media selepas bertemu penduduk Permatang Pauh dan Sama Gagah, di sini, semalam.

Ketika ditanya tindakan Majlis Peguam yang mendedahkan perkara itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu apakah dendam sebenar badan itu kepada kerajaan.

"SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menerima calon BN ini tetapi badan itu pula yang sibuk," katanya.

Ketika ditanya dakwaan ada lagi kes seumpama itu membabitkan Rohaizat, Muhyiddin berkata, sesiapa pun boleh membuat aduan kepada Majlis Peguam.

"Orang boleh buat pelbagai aduan tetapi benarkah wujud kes itu?" katanya yang turut mengingatkan pengundi agar tidak terpengaruh dengan fitnah yang dilemparkan terhadap Rohaizat.

Muhyiddin berkata, walaupun isu itu sedikit sebanyak mengganggu kempen BN, jentera tetap bersemangat dan melakukan penjelasan terhadap pengundi.

Katanya, penduduk mempersoalkan kelemahan kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak mengutamakan infrastruktur dan keperluan asas lain yang diminta pengundi di situ.

Katanya, pengundi di Permatang Pasir perlu rasional memilih wakil rakyat kerana kawasan itu tertinggal dari segi pembangunan ketika dipegang oleh wakil Pas selama tiga penggal.

Sementara itu, Muhyiddin percaya SPR membuat pertimbangan sewajarnya dengan tidak menggugurkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif daripada jawatan berkenaan.

Katanya, Abu Hassan tidak hadir sidang DUN Kedah, Ahad lalu kerana tidak sihat dan ada sijil sakit.

Sementara itu, mengulas kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah, yang mempertikaikan pemilihan Rohaizat, Muhyiddin berkata, ia adalah pandangan peribadi Ahli Parlimen Gua Musang itu.

No comments: