Jelas isu melalui komunikasi bersemuka - Zahid
KEMPEN Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir baru sahaja bermula kelmarin namun pelbagai isu telah pun dibangkitkan pihak lawan termasuk menyerang peribadi calon Barisan Nasional (BN). Bagi BN ia bukan menjadi masalah.
Bagi menjawab persoalan tersebut, para wartawan berkesempatan mengajukan soalan kepada Naib Presiden UMNO yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
UTUSAN: Apakah pendekatan yang akan digunakan BN pada kempen pilihan raya Permatang Pasir sekali gus menangkis isu-isu yang dibangkitkan pakatan pembangkang?
AHMAD ZAHID: Pada kali ini kita akan mengurangkan penganjuran ceramah dan perjumpaan besar-besaran semasa kempen. Sebaliknya kita akan menjelaskan isu yang dibangkitkan pembangkang menerusi komunikasi bersemuka dengan pengundi dan menggunakan cara-cara yang dibolehkan sebagai orang Islam.
Maknanya BN tidak akan menggunakan pendekatan dengan menyerang peribadi calon?
Saya tidak mahu menyentuh mana-mana prinsip parti lain selain daripada BN dan seperti dijelaskan sebelum ini bahawa kita sekali-kali tidak akan menyerang peribadi calon kerana kita menghormati walau siapa pun pihak lawan kita.
Apakah BN akan memberikan sebarang janji untuk melakukan pembangunan kepada penduduk di sini kali ini?
BN tidak akan janji apa-apa dan kita juga tidak mahu hidangkan mereka terutama penduduk miskin dengan cakap-cakap politik seperti yang dibuat pakatan pembangkang.
Tetapi bila dah menang kita akan cari jalan untuk membantu penduduk kawasan ini, kita ikhlas, BN sudah pun menyediakan langkah-langkahnya dan apabila menang kita akan buat apa yang perlu.
Apakah pesanan Datuk Seri kepada jentera-jentera BN ketika berkempen?
Saya dah ingatkan supaya ketika berkempen janganlah kita sekali-kali mengutuk orang lain atau menyentuh peribadi orang lain, kita hanya cakap perkara-perkara baik sahaja mengenai BN malah jika ada antara mereka yang ditemui adalah penyokong Pas, kita tidak perlu marah.
Apakah harapan dan mesej yang ingin disampaikan Datuk Seri kepada penduduk di Permatang Pasir?
Saya berharap pengundi di sini akan memberi peluang kali ini sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 kepada Rohaizat dan kita yakin beliau mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik sebagai wakil rakyat di Permatang Pasir ini.
Jika beliau gagal menunaikan amanah dan kepercayaan yang telah diberikan dalam tempoh itu, saya sendiri akan pastikan Rohaizat tidak akan dicalonkan pada pilihan raya umum akan datang.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment