Thursday, August 20, 2009

Siasat 'surat misteri'

Inkues Teoh Beng Hock: Polis diarah siasat isi surat misteri

Oleh Norhashimah Mohd Radzali
norhashimah@bharian.com.my




Kandungan berkait rapat kes

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini semalam, mengarahkan polis melakukan siasatan terhadap isi kandungan sepucuk surat misteri bertarikh 5 Ogos lalu, yang mengandungi senarai nama beberapa individu berkaitan kematian Teoh Beng Hock.

Koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan demikian dengan alasan isi kandungan surat yang diterima peguam pemerhati keluarga Teoh Beng Hock, Gobind Singh Deo, mempunyai elemen yang berkait rapat dengan perjalanan prosiding inkues itu dan boleh menimbulkan prejudis.

"Jadi saya perlu mengarahkan pegawai penyiasat kes ini, Asisten Superintendan Ahmad Nazri Zainal untuk menyiasat kandungan surat ini yang berkaitan dengan skop prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Teoh," katanya.

Beliau juga mengingatkan peguam semua pihak terbabit supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat penting berhubung kandungan surat itu kepada media yang boleh menjejaskan siasatan polis kelak.

Terdahulu, Gobind memaklumkan mahkamah ada perkembangan terbaru dalam kes itu apabila beliau menerima sepucuk surat daripada seseorang sebaik prosiding inkues itu berakhir petang, kelmarin.

"Semalam (kelmarin), saya menerima sepucuk surat bertarikh 5 Ogos yang mengandungi perkara berkaitan prosiding inkues tetapi saya tidak boleh memberitahu kandungannya di sini (mahkamah).

"Sehubungan itu saya ingin membuat permohonan kepada mahkamah supaya mengarahkan pegawai penyiasat menyiasat kandungan surat itu, yang sangat penting dan relevan dalam prosiding inkues ini," katanya.

Surat yang mengandungi lima muka surat bertaip itu kemudian diserahkan kepada Azmil untuk diteliti.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik Kerajaan Malaysia, menyatakan pihaknya tidak membantah permohonan Gobind dan tuduhan dalam surat itu perlu disiasat kerana ia menyentuh isu berkaitan inkues.

Peguam bagi kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar berkata pihaknya turut menyokong permohonan Gobind itu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Gobind berkata surat itu yang sebenarnya ditujukan kepada individu lain, diserahkan kepadanya oleh seseorang di bangunan mahkamah di sini kelmarin, antara jam 5 hingga 6 petang.

Katanya, surat itu mengandungi banyak maklumat yang relevan kepada Koroner berhubung punca yang membawa kepada kematian Teoh.

Ketika disoal sama ada surat itu akan membawa sebarang perubahan dalam kes itu, Gobind berkata beliau berpendapat ia mungkin akan membawa maklumat baru.

Prosiding inkues bersambung 24 Ogos ini.


Siasat 'surat misteri'

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES dan NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

SHAH ALAM 19 Ogos - Mahkamah Koroner di sini hari ini memerintahkan supaya satu siasatan lanjut dijalankan berhubung isi kandungan sepucuk 'surat misteri' yang dikatakan dapat membantu inkues siasatan kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock.

Perintah tersebut dibuat oleh Koroner Azmil Muntapha Abas selepas peguam pemerhati yang mewakili keluarga mendiang, Gobind Singh Deo mendakwa menerima sepucuk surat daripada seseorang antara pukul 5 dan 6 petang, semalam.

Lima helaian 'surat misteri' bertaip itu didedahkan oleh Gobind pada pukul 3.15 petang, ketika inkues yang masuk hari ke-12 berlangsung pada sebelah petang.

Terdahulu, pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding inkues itu kelihatan sibuk keluar masuk mahkamah walhal Azmil sepatutnya mendengar keterangan saksi ke-16 iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Anuar Ismail.

Ketika prosiding bermula, Gobind memaklumkan, terdapat perkembangan baru yang dirasakan dapat membantu inkues siasatan tersebut.

''Semalam sejurus selesai prosiding, seseorang telah memberikan sepucuk surat yang saya rasakan ia begitu bermakna dan penting untuk inkues ini,'' kata Gobind sambil menyerahkan surat asal yang dikepilkan bersama sampul surat berwarna putih bertarikh 5 Ogos.

Azmil mengambil masa beberapa minit untuk membaca isi kandungan surat bertaip setebal lima muka surat yang kandungannya tidak didedahkan pada peringkat ini.

Gobind kemudian membuat permohonan agar siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis berhubung isi kandungan surat tersebut kerana butirannya jelas menyentuh fakta penting dan keadaannya berkait rapat dengan prosiding itu.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kerajaan negeri Selangor turut menyokong permohonan tersebut.

Peguam Tan Hock Chuan bagi pihak kerajaan Malaysia mengesahkan bahawa Gobind telah menunjukkan surat itu kepadanya petang ini sebelum prosiding bermula.

''Sebahagian isi kandungan surat berkait secara langsung dengan prosiding ini. Atas alasan tersebut, kami tidak membantah permohonan Gobind agar siasatan lanjut dibuat terhadap isi kandungan surat.

''Selain itu, dakwaan-dakwaan dalam surat tersebut akan disiasat oleh polis dan mereka akan mengesahkan kebenaran dakwaan itu atau sebaliknya. Terdapat beberapa nama yang disebut oleh surat itu dan pihak polis perlu diberi peluang untuk memastikan kebenaran dakwaan tersebut,'' kata Hock Chuan.

Beliau turut memohon perintah supaya isi kandungan surat tersebut tidak didedahkan kepada pihak media. Gobind dan Malik bagaimanapun menyatakan, tidak perlu sebarang tegahan dikeluarkan.

Setelah mendengar hujahan kesemua pihak, Azmil berpendapat, ada beberapa elemen dalam surat itu yang berkait rapat dengan perjalanan inkues.

''Oleh itu, saya perlu mengarahkan pegawai penyiasat, Asisten Supritendan Ahmad Nazri Zainal menjalankan siasatan terhadap isi kandungan surat yang berkait dengan skop prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Beng Hock.

''Berhubung perintah tegahan, kita semua tidak mampu mengawal perkara-perkara yang berlaku di luar mahkamah.

"Namun sementara menunggu siasatan selesai, saya juga mengingatkan agar para peguam tidak menyebarkan surat tersebut kepada media kerana ia boleh mengganggu siasatan tetapi saya tidak mengeluarkan sebarang perintah tegahan berhubung perkara tersebut,'' ujar Azmil.

Dalam pada itu, ibu Beng Hock, Cheong Siew Hua, 56; ayahnya, Teoh Leong Hwee, 62; abang, Teoh Meng Kee dan adiknya, Teoh Lee Lan dibenarkan mendengar prosiding inkues hari ini kerana tidak melibatkan keterangan saksi.

Mereka yang kelihatan sugul tidak berkomunikasi antara satu sama lain dan ibunya pula dilihat hanya tunduk sepanjang prosiding sambil memegang sebuah bingkai gambar Beng Hock.

Inkues bersambung Isnin ini.

No comments: