Karpal Singh antara peguam baru Anwar
KUALA LUMPUR 19 Ogos - Berikutan penarikan diri peguam Sulaiman Abdullah ekoran masalah kesihatan, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan barisan peguam baru yang akan mewakili beliau dalam kes liwat bekas pembantunya.
Kali ini, Anwar memilih seorang lagi bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Raja Aziz Addruse untuk mengetuai barisan peguam mewakilinya bersama Datuk Param Cumaraswamy, Datuk C.V. Prabakaran dan Karpal Singh.
Dengan pelantikan itu, Raja Aziz mengulangi peranannya yang pernah mewakili Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dalam kes rasuahnya pada tahun 1998.
Senarai nama peguam tersebut dinyatakan dalam satu kenyataan media seorang daripada peguam Anwar, Sankara Nair yang dihantar kepada pihak media melalui e-mel hari ini.
Dalam kenyataan tiga perenggan itu, Nair menyatakan, Anwar bersama isteri dan keluarganya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap Sulaiman yang menjalankan tugasnya dengan baik dan mengharapkan segala yang terbaik buatnya.
Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.
Sulaiman yang sebelum ini mengetuai barisan sembilan peguam bela yang mewakili Anwar terpaksa menarik diri pada 15 Julai lalu atas faktor kesihatan setelah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Selain daripada barisan peguam baru itu dan Nair, Anwar diwakili oleh R. Sivarasa, Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Leela J. Jesuthasan, Latheefa Koya, Mohd. Razlan Jalaludin dan Saiful Izham Ramli.
Perbicaraan kes liwat itu yang sepatutnya bermula pada 1 hingga 24 Julai lalu telah beberapa kali dijadualkan semula dan kali terakhir ia ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 September ini.
Penangguhan perbicaraan itu disebabkan oleh terdapatnya empat permohonan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Di samping dua permohonan terdahulu, Anwar telah memfailkan dua permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) pada 4 dan 11 Ogos lalu.
Semakan kehakiman itu difailkan bagi mendapatkan perintah membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya yang menyatakan tiada fakta yang memihak kepada pembelaan dan perintah agar barisan pendakwa raya digugurkan daripada mengendalikan pendakwaan kes itu.
Pada 16 Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan pertama Anwar agar pendakwa raya membekalkan kepadanya dokumen dan barangan kecuali sampel asid deoksiribonukleik (DNA) sebelum perbicaraan penuh bermula.
Permohonan itu kini di peringkat rayuan oleh pendakwa raya.
Bagi permohonan kedua yang difailkan pada 17 Jun lalu, Anwar memohon pertuduhan liwat itu dibatalkan kerana mendakwa tuduhan tersebut adalah satu persendaan, tidak masuk akal dan tidak mempunyai asas sama sekali.
Permohonan itu akan disebut bersama sebutan perbicaraan kes liwat di hadapan Hakim Mohamad Zabidin pada 2 September ini.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment