Thursday, August 20, 2009

TPM harap Abu Hassan kekal ADUN

TPM harap Abu Hassan kekal ADUN

BUKIT MERTAJAM 19 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif akan diputuskan kekal sebagai wakil rakyat yang sah memandangkan ketidakhadirannya ke sidang DUN Negeri Kedah bukan sesuatu yang disengajakan.

Menurut Timbalan Presiden UMNO itu, Abu Hassan mempunyai sebab yang munasabah iaitu memiliki sijil cuti sakit di samping persidangan kali kedua yang tidak dihadiri beliau itu hanya berlangsung selama sehari sahaja.

Katanya, jika asas itu dapat diambil kira oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) maka tak seharusnya kerusi tersebut dianggap kosong sehingga memerlukan kepada pilihan raya kecil.

''Persidangan kedua itu saya dimaklumkan yang beliau tak dapat hadir ialah kerana beliau sakit dan ada dokumen rasmi yang menunjukkan beliau tak dapat hadir pada tarikh itu.

''Oleh kerana persidangan pada hari itu hanya sehari sahaja, bukan dua atau tiga hari maka tak hadir sehari bermakna tak hadirlah seluruh penggal persidangan.

''Jadi jelas yang beliau tak hadir bukan kerana sengaja tak hadir," katanya ketika bercakap kepada pemberita di hotel penginapannya dekat sini hari ini.

Kelmarin Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail telah memaklumkan kepada SPR berhubung kegagalan Abu Hassan untuk menghadiri sidang tersebut selama dua penggal berturut-turut yang boleh menyebabkan kerusi DUN berkenaan dianggap kosong.

No comments: