Pemuda Umno buktikan wujud pengundi hantu
BUKIT MERTAJAM: Pemuda Umno Pulau Pinang mendedahkan ada sebuah rumah Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang mempunyai 14 pengundi berdaftar, tetapi tujuh daripada pemilih itu tidak dikenali tuan rumah.
Sebuah lagi rumah yang didiami sepasang warga emas pula mempunyai empat pemilih, namun pasangan itu tidak mengenali dua pengundi yang menggunakan alamat rumahnya.
Lebih membingungkan dua pemilih berkenaan berlainan bangsa.
Ketua Pemudanya, Norman Zahalan, berkata pihaknya ada bukti wujud pengundi hantu di Permatang Pasir.
Katanya, bancian dan pemeriksaan dilakukan sejak hari penamaan calon mendapati ada kemusykilan terhadap senarai pengundi.
“Kami terkejut dengan penemuan di dua rumah itu dan berharap siasatan segera dapat dilakukan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Umno di Permatang Pasir di sini, semalam.
Berikutan itu, Pemuda Umno negeri menyerahkan dokumen pengundi hantu kepada Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Permatang Pasir, Masirah Che Ani di Pejabat Daerah Seberang Prai Tengah, semalam.
Tuan rumah tidak kenal pengundi
BUKIT MERTAJAM 19 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini mengemukakan surat bantahan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan wujud keraguan dalam senarai pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.
Terdapat kes melibatkan pemilik sebuah rumah di Kampung Permatang Janggus yang tidak mengenali tujuh pengundi berdaftar menggunakan alamat kediamannya.
Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Norman Zahalan berkata, berdasarkan senarai pengundi yang dikeluarkan, terdapat 14 pengundi beralamat di rumah tersebut.
Katanya, bagaimanapun apabila disiasat dengan pemilik rumah tersebut didapati hanya tujuh pengundi yang dikenali manakala selebihnya tidak dikenali.
''Pada kita ini adalah bukti jelas terdapat kemungkinan wujudnya apa yang dikatakan sebagai pengundi hantu kerana ada pengundi yang didaftarkan di alamat yang tidak diketahui siapa mereka oleh tuan rumah sendiri.
''Jadi kita minta SPR untuk siasat segera kes ini dan tanganinya secepat mungkin sebelum berlangsungnya hari pengundian 25 Ogos ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengemukakan surat bantahan tersebut kepada SPR yang diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Permatang Pasir, Masirah Che Ani di Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.
Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan turut hadir mengiringi rombongan Pemuda UMNO Pulau Pinang.
Sementara itu, Ahmad yang ditemui pemberita kemudian berkata, terdapat satu lagi kes yang menyaksikan dua pengundi berketurunan Cina beralamat di rumah milik seorang Melayu.
Katanya, ia telah disahkan sendiri oleh penduduk yang turun hairan dengan kes seperti itu memandangkan rumah berkenaan turun temurun didiami oleh penghuni Melayu.
''Ini dua kes awal, saya tak menolak kemungkinan ada lagi kes yang meragukan seperti ini kerana ada yang menganggarkan seramai 3,000 pengundi hantu wujud di DUN ini.
''Jadi hari ini saya bersama Pemuda UMNO bukan sahaja mengemukakan bantahan rasmi tetapi juga mengemukakan bukti yang berkaitan.
''Perkara ini serius kerana kita ada bukti. Bukan macam parti lawan yang bercakap kosong saja mendakwa ada pengundi hantu sana sini tetapi tak ada pun bukti," ujarnya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment